KUALA LUMPUR – Peguam Negara (AG) didesak untuk memberikan penjelasan berhubung keputusan mahkamah melepas tanpa dibebaskan (DNAA) bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Irwan Serigar atas pertuduhan pecah amanah melibatkan IPIC.
Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) melahirkan rasa kesal dan kecewa terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan DNAA kepada Najib dan Irwan.
Katanya, Peguam Negara perlu tampil menjawab secara terbuka mengapa pihaknya gagal mengendalikan kes kepentingan awam berkenaan yang disifatkan sebagai merugikan dana rakyat.
Badan bukan kerajaan itu turut menuntut penerangan mengenai kegagalan pendakwa raya mengemukakan dokumen daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar serta Kementerian Pengangkutan dan rekod mesyuarat Kabinet,
“Rakyat berhak untuk mengetahui kerana segala kos termasuk gaji mereka dibayar oleh rakyat.
“Kes ini telah didaftarkan semenjak 2018 lagi dan adakah mustahil untuk pihak pendakwaan mendapatkan serta mengemukakan dokumen-dokumen yang berkaitan bagi meneruskan pendakwaan ini?
“Adakah ini satu kesilapan yang disengajakan oleh pihak pendakwaan kerana lapan tahun adalah satu tempoh yang terlalu panjang. Tiga Perdana Menteri telah bertukar sepanjang tempoh tersebut,” soalnya dalam kenyataan.
Tambahnya, pada September 2023 pihak pendakwaan telah menggugurkan 47 pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi
“Ini amat memalukan dan akan memberi gambaran Peguam Negara dan pasukan pendakwaannya hanyalah senjata politik untuk menghukum pihak tertentu demi kepentingan sesetengah pihak, dan sekadar mainan sahaja kepada elit politik,” katanya.
Serentak itu Bersih mengulangi tuntutan agar Kerajaan Madani segera memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Husin hari ini mengambil keputusan tersebut kerana pihak pendakwaan gagal menyerahkan dokumen berkaitan kepada pasukan pembelaan Najib dan Irwan sekali gus tidak memenuhi tuntutan peruntukan Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.- MalaysiaGazette
Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) terlalu busuk hati seumpama zonist Rejim Yahudi…Mereka ini amat membenci DS Najib Razak.Kebanyakan ahli Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) adalah mereka yang munafik dan sangat membahaya kepada bangsa,negara serta agama