JAKARTA- Kerajaan memutuskan untuk menurunkan cukai perkhidmatan lapangan terbang dan bahan api penerbangan supaya harga tiket pesawat domestik dikurangkan sebanyak 10 peratus daripada harga biasa menjelang cuti perayaan Krismas dan Tahun Baharu.
Menteri Koordinator Infrastruktur dan Pembangunan Wilayah, Agus Harimurti Yudhoyono (AHY) berkata, ia merupakan hasrat Presiden Prabowo Subianto yang dizahirkan dalam mesyuarat dalaman di Istana Presiden Jakarta.
Katanya, Prabowo mahu langkah itu diambil agar harga tiket penerbangan menjelang “high season” perayaan Krismas dan tahun baharu dapat diturunkan.
“Semua langkah ini seperti pengurangan kos atau perkhidmatan di lapangan terbang dan surcaj bahan api dapat menurunkan harga tiket dalam dan luar negara kira-kira 10 peratus daripada harga biasa,” kata Agus kepada pemberita di Istana Presiden di Jakarta, pada Selasa.
Jelas beliau, kerajaan akan bekerjasama dengan beberapa pemegang taruh seperti Menteri Pengangkutan, Dudy Purwagandhi, syarikat penerbangan dan Badan Usaha Milik Negara Indonesia termasuk PT Pertamina.
“Semoga usaha ini dapat meringankan masyarakat kita yang ingin keluar bercuti sempena perayaan hari Krismas dan tahun baharu,” tambahnya.
Dalam pada itu, Dudy Purwagandhi berkata, pengurangan harga tiket pesawat itu melibatkan 19 lapangan terbang utama termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta Tangerang (Banten) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai (Bali).- Agensi