Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Jafri Embok Taha berucap ketika merasmikan Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia Cawangan Kuala Langat, Banting, hari ini.

BANTING – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak pernah ‘tidur’ dalam memerangi pendatang asing tanpa izin (PATI) terutama yang menjadikan sesebuah kawasan perumahan tempatan sebagai koloni mereka.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Jafri Embok Taha berkata, walaupun operasi pembanterasan PATI dilakukan dalam skala kecil, namun ia dilakukan pihaknya secara berkala.

“Operasi kita tak akan putus, sebenarnya setiap hari kita buat operasi secara skala kecil dan sederhana.

“Tetapi untuk operasi besar yang membabitkan pelbagai agensi seperti semalam, kita akan laksanakan dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat JIM Cawangan Kuala Langat, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Jafri Embok Taha bersama Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin ketika merasmikan Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia Cawangan Kuala Langat, Banting, hari ini.

Jafri berkata, JIM sentiasa bekerjasama semua agensi penguatkuasaan dalam membanteras dan membasmi koloni PATI di kawasan tertentu.

“Kita sentiasa bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Kita sedia maklum, terlalu ramai PATI berada di Malaysia, dari Sabah hingga ke Perlis.

“Jadi kita tak boleh selesaikan semua dalam masa serentak, kita sentiasa ambil tindakan ke atas koloni ini,” katanya.

Katanya, JIM juga mempunyai kawasan sasaran yang dikenal pasti sebagai titik panas perkampungan PATI.

“Solusinya, kita uruskan operasi, ada perancangan serta hot spot. Kita akan susun jadual dan tidak berhenti setakat itu kerana kehadiran kita adalah penting,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here