Mohd Hairi ketika menjawab soalan lisan dalam sidang DUN di Banguan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini

ISKANDAR PUTERI – Johor sedang menunggu perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail untuk menjadi venue acara sukan bola sepak Sukan SEA 2027.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, hasrat tersebut sudah disampaikan kepada baginda kerana berpendapat Johor sesuai dan mempunyai fasiliti terbaik untuk sukan itu.

“Ini sesuai dengan gelaran tuan rumah bagi pasukan hebat bola sepak, Harimau Selatan iaitu Johor Darul Takzim (JDT). Johor mempunyai fasiliti terbaik sukan itu dengan kewujudan stadium bertaraf antarabangsa, Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Gelang Patah.

“Dalam rundingan kami, cuma untuk menawarkan bola sepak sebagai tempat Sukan SEA 2027. Bagaimanapun saya akan meminta perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail untuk berkongsi apa sahaja pandangan dan nasihat berkenaan hasrat ini.

“Ini kerana salah satu faktor (tawaran) kita punyai fasiliti sukan bola sepak yang bagus dan kemudahan akses penerbangan langsung ke Singapura, mungkin menarik lebih ramai pelancong dan pasukan bola sepak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

Mohd Hairi berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, pihaknya bersama-sama Perbadanan Stadium Johor mencadangkan beberapa stadium termasuk SSI.

“Mungkin ada lebih tiga tempat (stadium) yang akan ditawarkan termasuk SSI. Saya akan meminta perkenan sama ada bersetuju atau sebaliknya,” ujarnya.

Menurut Mohd Hairi, antara stadium yang ditawarkan SSI, Stadium Olahraga Mount Austin, Stadium Larkin dan Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang di Pasir Gudang.

“Kita menunggu perkenan Tunku Mahkota Ismail, baginda sebagai pemilik Kelab Bolasepak JDT. Saya akan memohon nasihat dan cadangan dari baginda berhubung rundingan ini,” katanya.

Pada 28 Ogos lalu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan mengesahkan Malaysia menerima tawaran daripada Persekutuan Sukan Sea (SEAGF) untuk menjadi tuan rumah temasya dwi tahunan itu pada 2027.

Kenyataan itu juga melaporkan penganjuran temasya berkenaan akan membabitkan kerjasama tiga negeri iaitu Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang bersama-sama Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here