Kastam berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan kontraban dan beras basmati tidak bercukai bernilai RM1.5 juta.

PETALING JAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan tiga sindiket penyeludupan dan merampas barang kontraban jenis minuman keras dan kontena beras berjumlah hampir mencecah setengah juta ringgit membabitkan nilai cukai serta duti sebanyak RM1.5 juta.

Penolong Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, rampasan itu membabitkan minuman keras jenis hard liquor, bir dan beras basmati menerusi tiga operasi berasingan pada September dan Oktober lalu di Lembah Klang.

Dalam kes pertama pada pukul 6 petang pada 30 September lalu, pihaknya bertindak atas risikan telah menggagalkan cubaan membawa masuk dagangan beras Basmati tidak berkastam dengan penahanan sebuah kontena bersaiz 40 kaki di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap kontena itu di pekarangan Kompleks Kastam Unit I WPKL berjaya menemukan sejumlah muatan produk makanan beras putih jenis Basmati seberat 15,390 kilogram bernilai RM227,000 dan anggaran nilai cukai serta duti RM91,000.

“Beras diklasifikasikan sebagai barang larangan import di bawah butiran 25, Jadual Ketiga, Bahagian I Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya.

“Penahanan kontena itu turut memanggil seorang ejen lelaki tempatan berusia 30-an untuk membantu siasatan lanjut dalam kes ini,” katanya dalam sidang media di Kelana Jaya hari ini.

Sindiket penyeludupan kontraban (arak) dan Beras Basmati tidak bercukai bernilai RM1.5 juta ditumpaskan Kastam Zon Tengah WPKL.

Mengulas lanjut, beras itu disyaki diimport dari Gujerat, India secara tidak sah dan mendapati membuat pengikraran yang tidak benar iaitu assorted food bag di Borang Kastam 1 bagi mengelak mengemukakan lesen import dan semasa pengimportan sengaja meletakkan dagangan beras di bahagian belakang muatan kontena bersama barangan makanan yang lain.

Tambah beliau, dalam kes kedua pula pada 7 Oktober lalu jam lebih kurang 2.30 petang pasukan serbuan telah mematahkan cubaan menyeludup sejumlah minuman keras pelbagai jenama yang disyaki tak berkastam melalui serbuan di sebuah premis di Jalan Tun H.S Lee, Kuala Lumpur.

“Pemeriksaan membawa kepada rampasan minuman keras jenis hard liquor tersebut adalah berjumlah 3,000 liter dengan anggaran nilai sebanyak RM100,000 membabitkan jumlah cukai dan duti yang terlibat dianggarkan berjumlah RM395,000.

“Malah pemeriksaan lanjut dalam premis menjumlah sejumlah minuman keras import yang tidak mempunyai lesen import tetapi dilekatkan dengan setem cukai palsu.

“Sindiket ini menggunakan modus operandi dengan menyimpan sejumlah minuman keras di kawasan premis perniagaan bagi memudahkan diedarkan di pasaran runcit sekitar,” ujarnya.

Bagi kes ketiga, tegas beliau, pada 26 Oktober lalu pukul 9.45 malam pasukan operasi turut menumpaskan cubaan menyeludup sejumlah minuman keras pelbagai jenama yang disyaki tak berkastam melalui serbuan di sebuah premis gudang di Kawasan Perindustrian Balakong Jaya, Selangor.

Hasil pemeriksaan rapi terhadap gudang tersebut membawa kepada penemuan sejumlah minuman keras import jenis bir berjumlah 27,792 liter yang dianggarkan bernilai RM189,884 dan membabitkan cukai serta duti kastam berjumlah RM1,091,730.

Norlela juga memaklumkan selain dari minuman keras, tiga buah lori yang dengan muatan barang jenis minuman keras yang sama turut dijumpai berada di kawasan gudang tersebut.

“Siasatan pasukan mendapati penyeludup menggunakan premis gudang di kawasan perindustrian bertujuan mengaburi pihak berkuasa bagi menjalankan aktiviti penyimpanan dan pengedaran minuman keras import yang tak berkastam.

“Dalam kes ini, kita turut berjaya menahan empat orang suspek terdiri daripada dua warga tempatan berperanan sebagai pemandu lori dan dua warga Myanmar penjaga gudang tersebut bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Ketiga-tiga rampasan dan tangkapan kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) dan 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu menyimpan atau memiliki apa-apa barang tak berkastam atau larangan import.

Jika disabitkan kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang 10 kali amaun duti kastam atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau meminta kerjasama orang ramai membantu pihak JKDM menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah penyeludupan bagi memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain menerusi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here