KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini mengesahkan kematian seorang penuntut di salah sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ketika melaksanakan sesi latihan seliaan jurulatih tentera.
Dalam kenyataan di sini, hari ini, ATM memaklumkan kes berkenaan sedang dalam siasatan Cawangan Provos Marsyal, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“ATM menegaskan siasatan akan dilaksanakan dengan terperinci dan tidak akan melindungi atau berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kes tersebut.
“Tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak yang terlibat jika terbukti bersalah,” katanya.
Dalam pada itu, ATM menggesa agar masyarakat memberi ruang kepada pasukan itu untuk menyiasat perkara berkenaan secara tuntas agar keadilan dapat diberikan sepenuhnya kepada pihak yang teraniaya.
ATM turut menyeru masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan yang dilaksanakan.
“Segala perkembangan hasil siasatan akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Sebuah portal hari ini menyiarkan kenyataan seorang bapa yang mendakwa anaknya, Muhammad Amir Rusyaidi meninggal dunia pada 13 November lalu selepas menjalani sesi latihan jerih dan tidak berjadual.
Bapa mangsa, Muhammad Zaidi Abdul Rahman mendakwa latihan itu melibatkan penderaan secara fizikal.
Dalam laporan kepada polis, Zaidi berkata, anaknya mengalami pelbagai penderaan termasuk dipijak dadanya serta dipaksa melakukan pelbagai aksi termasuk seperti kuda dan ditunggang oleh jurulatihnya. – MalaysiaGazette