KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu kes baharu jangkitan cacar monyet (Mpox) pada Isnin lalu.
Ia menjadikan jumlah kes Mpox di Malaysia bagi tahun 2024 meningkat kepada dua kes dan secara kumulatifnya, sebanyak 11 kes sejak 26 Julai 2023.
Katanya, kes baharu itu melibatkan seorang lelaki warga tempatan berusia 34 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 21 hari dan terlibat dalam aktiviti berisiko.
“Kes mula menunjukkan gejala ruam pada tangan, badan dan kaki sejak 15 November 2024, dan beliau telah mendapatkan rawatan pada 23 November 2024.
“Beliau kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani isolasi serta telah menerima rawatan simptomatik.
“Semua kontak rapat sedang dikenalpasti dan dipantau untuk tanda dan gejala Mpox selama 21 hari dari tarikh terakhir pendedahan,” kata KKM dalam kenyataan hari ini.
KKM mendedahkan, Mpox adalah sejenis jangkitan disebabkan oleh virus Mpox iaitu spesis di bawah genus Orthopoxvirus.
Jangkitan boleh berlaku antara manusia ke manusia melalui sentuhan rapat secara langsung dengan ruam atau lepuh pada kulit individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan mpox.
Ia juga boleh berlaku melalui pendedahan kepada cecair respiratori semasa hubungan intim.
KKM berkata, gejala Mpox ialah demam berserta ruam “maculopapular rash” atau ruam lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan, konjunktiva dan juga kornea.
Jelasnya, tempoh pengeraman iaitu tempoh daripada terdedah kepada jangkitan sehingga individu menunjukkan gejala jangkitan mpox adalah antara lima hingga ke 21 hari.
Kataya lagi, individu positif jangkitan mpox boleh menjangkiti orang lain sehari sebelum gejala muncul dan sehingga semua lepuh telah kering sepenuhnya. Lazimnya kes mpox akan sembuh sendiri tanpa sebarang rawatan khusus. – MalaysiaGazette