Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (dua dari kiri) menyerahkan surat lantikan pengarah projek.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) telah melantik pengarah projek untuk memantau dan mengurus dua projek yang menerima Surat Setuju Terima (SST) hari ini.

Surat pelantikan itu telah disampaikan kepada Pengarah pembinaan Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), Datuk Jasmi Wahab di Menara Kerja Raya di sini hari ini.

Pada majlis itu, dua SST telah diserahkan kepada syarikat kontraktor Eastbourne Corporation Berhad untuk Projek Pembinaan Kompleks Bangunan Gunasama Persekutuan (BGP) di Kuching, Sarawak.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kos kontrak untuk projek itu berjumlah RM140.79 juta.

“Projek ini dilaksanakan atas keperluan dan persetujuan 26 jabatan yang menyatakan keperluan untuk ditempatkan di bangunan guna sama yang dicadangkan.

“Justifikasi dibuat berdasarkan kadar sewa agak tinggi untuk kesemua jabatan itu yang berjumlah RM6.34 juta setahun. Oleh itu, ini bukan sahaja dapat mengurangkan kos tetapi kecekapan perkhidmatan awam,” katanya.

Satu lagi SST diberi kepada kontraktor berjaya mendapat projek Pembinaan Bare Base Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Lapangan Terbang Bintulu, Sarawak.

Menurut Alexander, pelaksanaan projek itu dapat meningkatkan perlindungan optimum terhadap kepentingan pertahanan udara di Malaysia Timur.

“Ini sekaligus dapat mewujudkan pangkalan udara asas dengan fasiliti yang mencukupi untuk menampung keperluan operasi serta menggunakan keanggotaan dan aset ketenteraan sedia ada untuk  Pangkalan Operasi Berkala (POB).

“Ia juga akan mengadaptasi metodologi Building Information Modeling (BIM) dalam kitar hayat pelaksanaan projek,” tambahnya.

Pihaknya juga akan terus memantau kualiti kerja serta menilai prestasi kontraktor sepanjang pelaksanaan projek.

“Kami akan terus komited memastikan pengurusan dua projek ini supaya mendatangkan manfaat kepada pelanggan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast