MELAKA – Sebanyak 370 kes kehilangan MyKad melebihi tiga kali direkodkan dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini dan ia meningkat lebih 16 peratus berbanding tahun lalu di Melaka.
Pengarah Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Melaka, Norazle Sulaiman berkata, tahun lalu kecuaian yang sama mencatatkan 318 kes majoritinya berumur antara 25 hingga 40-an.
“Apa yang kita bimbangkan dengan peningkatan kes ini ialah ia boleh mendedahkan risiko kepada salah guna Mykad yang hilang itu.
“Sebab itu, kita sentiasa menasihati warganegara supaya sentiasa menjaga kad pengenalan diri itu sebaik-baiknya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Hari Terbuka JPN Bersama Media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ayer Keroh di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Norazlee berkata, setiap kes kehilangan Mykad akibat kecuaikan sendiri akan dikenakan denda mengikut kategori iaitu untuk kali pertama sebanyak RM100, RM300 kali kedua serta RM1,000 untuk kali ketiga dan seterusnya.
Selain itu, dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini, kes daftar lewat kelahiran mencatatkan sebanyak 168 kes, daftar lewat Mykad (41) selain seramai 12 individu telah dikenakan tindakan pendakwaan menerusi 28 operasi dijalankan.
“Daripada 12 individu yang didakwa, 11 pesalah mengaku memalsukan sijil kelahiran manakala seorang dijatuhi hukuman penjara kerana mengaku menggunakan Mykad palsu,” katanya. – MalaysiaGazette