KUALA LUMPUR – Malaysia perlu mengamalkan sistem dua parti bagi menyelesaikan polemik politik sekali gus memastikan sebuah kerajaan yang benar-benar kukuh dapat dibentuk, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri mengambil contoh bagaimana sistem dua parti itu dilaksanakan di United Kingdom (UK) melibatkan Parti Konservatif dan Demokrat Liberal serta di Amerika Syarikat (AS) antara Parti Republikan dan Demokrat.
Ujar beliau, sistem hanya dua parti di UK dan AS itu membolehkan kerajaan di negara tersebut dibentuk oleh sebuah parti yang memenangi pilihan raya dengan majoriti kukuh.
Berbeza dengan apa yang berlaku di Malaysia ketika ini, menurut beliau, terdapat banyak parti politik ditubuhkan termasuk sekurang-kurangnya lima buah parti pecahan daripada UMNO.
“Kenapa UMNO berpecah itu kerana kepimpinannya tidak berusaha untuk menyatupadukan ahli-ahli, tidak berpegang kepada perjuangan sebenar UMNO.
“Perjuangan UMNO itu sebenarya agak mudah iaitu untuk bangsa, negara dan agama…tetapi perjuangan itu dialihkan kepada perjuangan cash is king.
“Sebab itu ramai ahli UMNO tidak begitu setuju dan mereka keluar daripada parti termasuklah saya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab sempena pelancaran buku Idealis: Syed Hamid Albar di Royal Lake Club, Tasik Perdana di sini hari ini.
Buku berbentuk biografi itu berkisar tentang sejarah dan penglibatan bekas Menteri Luar yang juga bekas pemimpin UMNO, Tan Sri Dr. Syed Hamid Albar sepanjang penglibatan beliau dalam pentadbiran kerajaan dan politik.
Buku yang diterbitkan oleh Ilham Books setebal lebih 200 muka surat itu ditulis bekas wartawan, Noor Hasilah Ismail dan penulis politik, Firdaus Zainal.
Tambah Dr. Mahathir, kewujudan banyak parti politik di negara ini turut menyebabkan sokongan pengundi berpecah sekali gus tidak ada parti politik yang berjaya mendapat majoriti bagi membentuk sebuah kerajaan yang kukuh.
“Sebab itu hari ini apa yang dapat kita lihat adalah kerajaan (Pakatan Harapan dan Barisan Nasional) yang wujud ini adalah kerajaan yang ditolak oleh pengundi.
“Kerajaan hari ini bukan kerajaan yang dipilih oleh rakyat, kedua-dua parti (PH dan BN) ditolak oleh rakyat (dalam Pilihan Raya Umum Ke-15) tetapi mereka sekarang bergabung dan ada majoriti tetapi ini bukan kerajaan yang sebenarnya disokong oleh majoriti rakyat.
“Jadi kalau nk selesaikan masalah ini, kita kena kurangkan parti politik kepada hanya dua,” katanya.
Sementara itu, menyentuh mengenai buku Syed Hamid Albar, Dr. Mahathir yakin ia merupakan catatan berkenaan penglibatan bekas menteri itu yang sangat bernilai untuk dihayati.
Malah beliau turut mengimbau pengalaman sewaktu Syed Hamid berada dalam Kabinet ketika era pentadbirannya sebagai Menteri Luar yang begitu berdiplomasi dalam berurusan dengan negara-negara luar. – MalaysiaGazette