KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, melepas tanpa membebaskan (DNAA) bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan.
Turut mendapat DNAA ialah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah melibatkan harta Kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan Najib dan Mohd Irwan melalui permohonan notis usul difailkan kedua-dua tertuduh hari ini.
Ketika membacakan keputusan itu secara ringkas, kata hakim, mengikut fakta kes selain hujahan kedua-dua tertuduh, mahkamah membenarkan permohonan DNAA untuk enam pertuduhan itu.
“Pasukan pendakwaan tidak memenuhi sepenuhnya Kanun Tatacara Jenayah (CPC). Perintah ini juga memprejudiskan kes pendakwaan. Pendakwaan boleh tuduh kedua-dua mereka semula,” katanya, hari ini.
Hakim juga memutuskan pendakwaan tidak memenuhi Seksyen 51A CPC menyebabkan kelewatan melampau walaupun kes sudah didaftarkan sejak 2018.
“Tarikh perbicaraan telah ditetapkan beberapa kali kerana pendakwaan tak memenuhi sepenuhnya peruntukan Seksyen 51A CPC,” katanya.
Najib dan Irwan dituduh atas enam tuduhan pecah amanah harta kerajaan, berkaitan bayaran kepada IPIC, sebuah perbadanan milik kerajaan Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu.
Mereka pernah memohon DNAA namun dua kali ditolak oleh Jamil sebelum ini.
Mereka didakwa melakukan semua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan di Putrajaya antara 21 Disember 2016 hingga 18 Disember 2017.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. -MalaysiaGazette