Papan tanda yang mempamerkan dwibahasa kelihatan masih digunakan ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di sekitar Pasar Seni, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 26 NOVEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Para pelancong mahu bahasa Inggeris dijadikan tulisan kedua pada papan-papan tanda di lokasi yang menjadi tumpuan di ibu negara.

Penggunaan bahasa itu memudahkan mereka untuk mendapat maklumat tentang lokasi, tempat, hidangan makanan dan maklumat tempat yang dilawati atau dikunjungi mereka.

Elvis Lee

Pelancong dari Australia, Elvis Lee berkata, dia lebih senang jika papan-papan tanda di kawasan pelancongan disertakan tulisan bahasa Inggeris.

“Sebagai pelancong, kami banyak bergantung kepada aplikasi atas talian untuk bergerak namun apabila sampai ke situ, kadang kala kami tidak pasti adakah betul tempat yang dituju.

“Hal ini kerana ada papan tanda hanya memaparkan bahasa Melayu. Sebagai contoh, tulisan ‘buka 24 jam’ itu mungkin ada yang akan salah tafsir sebagai nama kedai,” katanya.

Lelaki berusia 33 tahun itu tidak menafikan keutamaan bahasa ibunda di sesebuah negara, tetapi sebagai sebuah destinasi pelancongan, perlu ada fleksbiliti untuk isu ini.

“Benar, tulisan ibunda perlu diutamakan dan perkara itu tidak salah. Tetapi, campuran bahasa di papan tanda juga adalah perkara yang unik, boleh menjadi identiti untuk sesebuah premis.

“Apabila saya melancong ke sini dan melihat ada papan tanda yang mempunyai dua atau tiga bahasa dapat memberi saya gambaran tentang keharmonian di sini.

“Jadi, papan tanda dwi bahasa adalah bagus,” tambahnya.

Kanas Cheong.

Sementara itu, Kanas Cheong dari Hong Kong turut mengakui lebih selesa jika papan-papan tanda di tempat tumpuan pelancong menggunakan tulisan bahasa Inggeris.

Katanya, dia sukar untuk memahami jika sesuatu tempat tidak disertakan dengan papan tanda tulis bahasa Inggeris.

“Saya selesa datang melancong ke sini. Cuma ada tempat-tempat tertentu saya sukar jika tiada papan tanda dalam bahasa Inggeris atau Cina.

Di tempat kami, walaupun bahasa utama adalah bahasa Cina, ada sahaja papan tanda yang menggunakan dwi bahasa.

“Sebagai contoh, restoran Arab di Hong Kong akan menggunakan tiga bahasa papan tanda iaitu bahasa Arab, bahasa Cina.

“Restoran Vietnam pula memaparkan bahasa Vietnam, bahasa Cina dan juga bahasa Inggeris,” tambahnya sambil menyatakan pemahaman bahasa memudahkan pelancong bergerak.

Pelancong Lubnan, Zeina Kassis.

Wanita daripada Lubnan, Zeina Kassis, pula gembira apabila Malaysia terutamanya di Kuala Lumpur banyak memaparkan papan tanda dwi bahasa di tempat tarikan pelancong.

“Papan tanda tulisan bahasa Melayu adalah untuk penduduk di sini tetapi bahasa Inggeris memudahkan pelancong.

“Saya pernah tersesat ketika menaiki Mass Rapid Transit (MRT) di sini kerana tidak faham tentang maklumat laluan yang hanya dipaparkan dalam bahasa Melayu.

“Namun, masalah itu dapat diatasi apabila saya bertanya kepada petugas,” katanya.

Zeina, 33, menambah, pengunaan papan tanda dwi bahasa banyak membantu dia yang melancong ke sini seorang diri.

“Mungkin perkara ini boleh dipandang semula kerana di Lubnan, kebanyakan rakyat juga boleh berkomunikasi dalam sekurang-kurangnya tiga bahasa.

“Bukan bahasa Arab sahaja digunakan di papan tanda. Kadangkala, maklumat dalam bahasa Perancis dan bahasa Inggeris turut dipaparkan untuk kemudahan pelancong luar,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Dwi bahasa? gambar papan tanda tu cuma ada bahasa Cina dan bahasa Inggeris jaa..Pasar Seni Hong Kong kaaa?

Comments are closed.