Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden bercakap pada sidang media berkenaan Perasmian Pra Muktamar Dewan Pemuda PAS di Temerloh, Pahang. Foto AIZAT ZAINAL, 11 SEPTEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas mencadangkan supaya Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilantik sebagai Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, ia berikutan Hamzah kini sudah diberi mandat baharu sebagai Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Cadangan ini adalah sesuai dengan pengalaman dan senioriti YB Dato’ Seri Takiyuddin di dalam Perikatan Nasional, lebih-lebih lagi beliau sebelum ini adalah merupakan Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau semalam.

Dalam pemilihan Bersatu bagi penggal 2024-2027 baru-baru ini, Hamzah yang sebelum ini merupakan Setiausaha Agung Bersatu menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Hamzah yang juga Ketua Pembangkang menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang kini merupakan Naib Presiden selepas menang dalam pertandingan enam penjuru.

Cadangan Afnan Hamimi itu timbul ketika polemik parti mana yang lebih layak mengetuai PN dan siapa yang bakal dicalonkan sebagai Perdana Menteri PN masih hangat diperdebatkan.

Isu itu tercetus selepas Ahmad Faizal dalam satu kenyataan mengesyorkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon tunggal jawatan Perdana Menteri daripada PN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Bagaimanapun, Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin dalam satu kenyataan menegaskan, parti itu lebih layak memimpin PN sekali gus menolak cadangan supaya Muhyiddin kekal sebagai calon Perdana Menteri gabungan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here