KUALA LUMPUR – Seorang eksekutif syarikat swasta kerugian berjumlah RM138,000 setelah terpedaya dalam penipuan telefon yang melibatkan aktiviti penjualan barangan terlarang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, lelaki berusia 37 tahun itu telah membuat laporan polis pada 28 Oktober lalu setelah terjebak dalam permainan licik sindiket ini.
“Mangsa menerima panggilan telefon kononnya daripada wakil Shopee yang mendakwa nombor telefonnya digunakan untuk aktiviti penjualan haram.
“Walaupun mangsa menafikan dakwaan itu, panggilan tersebut kemudian disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis,” katanya dalam sidang media kejayaan kes jenayah komersial dan perkembangan sama kes jenayah mingguan di Menara KPJ, Kuala Lumpur.
Mangsa telah diarahkan memindahkan wang RM38,000 ke akaun yang diberikan atas alasan membantu siasatan.
Malah, mangsa juga dipujuk menyerahkan wang tunai sebanyak RM100,000 kepada seorang individu yang menemui mangsa secara bersemuka.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Ramli berkata, individu yang mengambil wang RM100,000 daripada mangsa adalah seorang wanita yang turut menjadi mangsa sindiket sama.
“Wanita tersebut didapati telah didekati sindiket sejak Ogos 2024 dan diugut untuk melapor diri setiap tiga jam.
“Dia juga dipaksa membuat pinjaman bank berjumlah RM89,000, selain diarahkan memindahkan semua wang yang diterima ke empat akaun berbeza,” ujarnya.
Tambahnya, lebih membimbangkan, wanita itu bertindak atas arahan sindiket tanpa menyedari dirinya telah dipergunakan dan hasil pemeriksaan telefon bimbitnya mengesahkan hubungannya dengan sindiket tersebut.
Dia kini dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan lanjut masih diteruskan.
Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang diingatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap panggilan mencurigakan, terutama yang melibatkan permintaan wang. – MalaysiaGazette