KUALA LUMPUR – Pelaksanaan sistem kutipan tol tanpa henti (MLFF) tidak melibatkan sebarang isu politik sebaliknya melibatkan kekangan praktikal.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sehingga kini masih ada 13 daripada 33 lebuh raya di Malaysia belum lagi menyatakan persetujuan terhadap pelaksanaan itu.
“Untuk melaksanakan projek ini, kita perlu menggabungkan semua pihak untuk menyelaraskan satu sistem kutipan tol seperti di negara lain.
“Lebuh raya lain masih lain dalam rundingan dan ini bukan mudah kerana setiap pemegang konsesi memiliki pandangan berbeza dan hak masing-masing dalam perjanjian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas satu majlis penyerahan surat pelantikan pengarah projek di Menara Kerja Raya di sini hari ini.
Alexander menambah, pihaknya sedang menunggu laporan dan cadangan daripada syarikat yang telah diberi mandat untuk menjalankan kajian konsep MLFF.
“Bukti konsep ini akan menjadi asas kepada keputusan kerajaan untuk menggerakkan projek itu ke fasa seterusnya.
“Proses ini bukanlah mudah tetapi kami yakin menjelang tamatnya perjanjian konsesi hujung tahun ini, kerajaan akan dapat mencari penyelesaian terbaik buat pengguna jalan raya,” tambahnya. – MalaysiaGazette