Prof. Dr. Awang Sariyan

KUALA LUMPUR – Bahasa Melayu bukan milik eksklusif orang Melayu dan semua warganegara tanpa mengira kaum merupakan pemiliknya sebagai bahasa rasmi negara.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan menjelaskan, penguatkuasaan penggunaan Bahasa Melayu tiada kaitan dengan soal perkauman.

Menurutnya, tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mempergiat usaha memastikan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam iklan di premis perniagaan di ibu negara dibuat berdasarkan Undang-Undang Kecil Iklan Wilayah Persekutuan 1982.

Ia mengutamakan bahasa kebangsaan dan bertujuan memperkukuh peranan bahasa tersebut sebagai identiti negara.

“Langkah DBKL itu tiada kaitan dengan sentimen perkauman atau penafian kepada bahasa lain kerana undang-undang menyebut untuk mengutamakan penggunaan Bahasa Melayu.

“Penggunaan bahasa lain boleh digunakan tetapi dengan syarat tidak boleh kelihatan lebih utama seperti saiz hurufnya, warna dan kedudukannya pada iklan atau bahan peragaan lain di tempat awam,” katanya dalam satu kenyataan.

Awang berkata, langkah mengutamakan bahasa dominan di Malaysia juga diamalkan oleh semua negara seperti negara China yang mempunyai 56 etnik yang menetapkan Bahasa Mandarin sebagai bahasa kebangsaan.

“Ia menjadi bahasa utama mereka dalam sektor kenegaraan seperti pentadbiran, pendidikan, kehakiman, media am, diplomasi dan juga penggunaan bahasa di tempat awam.

“Sepanjang saya bertugas di China sukar menemukan iklan dan pelbagai barang-barang peragaan lain di tempat awam yang menggunakan bahasa asing.

“Mustahil menteri dan ahli Parlimen yang mempersoalkan langkah DBKL menguatkuasakan penggunaan bahasa kebangsaan di premis perniagaan di sekitar ibu negara itu tidak pernah berkunjung ke negara China yang amat tegas melaksanakan dasar bahasa kebangsaannya,” ujarnya.

Beliau turut menekankan kebanyakan negara lain seperti Jepun, Korea, Perancis, Netherlands, Jerman, Thailand dan Indonesia juga mengamalkan dasar ketat dalam memartabatkan bahasa kebangsaan masing-masing.

Tambahnya, langkah DBKL itu turut bertujuan membetulkan kelonggaran yang telah berlaku selama puluhan tahun sejak merdeka di mana penggunaan Bahasa Melayu sering diabaikan dalam iklan komersial.

Sebelum ini, DBKL telah menjalankan operasi menyerbu premis-premis perniagaan yang tidak mematuhi undang-undang penggunaan bahasa Melayu di beberapa kawasan termasuk Segambut, Pudu dan Jalan Silang di Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast