KUALA LUMPUR – Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menyokong tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan penggunaan bahasa kebangsaan pada papan tanda perniagaan.
Presiden PENA, Mohamad Saleeh Rahamad berkata, bahasa kebangsaan telah diwartakan dalam Perlembagaan Malaysia dan tiada alasan untuk menidakkan kepentingannya.
“Tiada diskriminasi terhadap bahasa lain namun kita perlu memartabatkan bahasa kebangsaan kerana sudah dirangka dalam dasar pendidikan dan diwartakan di Parlimen untuk diberi keutamaan.
“Kadang-kadang ada ketirisan apabila pihak yang memegang kuasa mengabaikan bahasa ini dan hal ini perlu diberi perhatian serta harus ada audit bahasa oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) namun DBP hanya mampu memberikan nasihat dan belum ada kuasa untuk mengambil tindakan,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurut Mohamad Saleeh, semua pihak perlu menghormati kepentingan dan kewajiban bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“Apabila timbul isu berkaitan Datuk Seri Tiong King Sing, hal ini saya anggap aneh kerana alasan penggunaan bahasa lain untuk tujuan komersial dan pelancongan adalah tidak relevan kerana Malaysia bukan negara monolingual.
“Bagi saya, rakyat Cina di negara kita boleh sahaja bagi maklumat kepada pelancong China yang datang dan saya anggap ini bukan satu masalah.
“Papan tanda perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan dan tidak perlu mempersoalkan perkara ini kerana saya anggap ia janggal,” katanya.
Beliau juga turut memberitahu, penggunaan bahasa lain masih dibenarkan dalam kapasiti tertentu tanpa penghapusan kedaulatan bahasa Melayu.
“Semua negara kalau pergi pun baik China Jepun, Eropah dan Jerman didapati bahasa mereka sendiri jadi keutamaan dan tiada timbul isu tuduhan bahawa negara bersifat perkauman,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berpendapat mungkin terdapat agenda lebih besar pihak-pihak tertentu dan akan terus menentang perkara yang mencemarkan Perlembagaan.
Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing mencetuskan kekecohan selepas menyifatkan tindakan DBKL menguatkuasakan peraturan papan tanda dwibahasa menimbulkan rasa tidak puas hati serta wujud persepsi negatif dalam kalangan pelancong.
Terdahulu, media melaporkan DBKL melancarkan operasi bagi menyasarkan papan tanda yang tidak memaparkan bahasa Melayu di beberapa kawasan termasuk Segambut, Pudu dan Jalan Silang di Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette