KUALA LUMPUR – Gara-gara meninggalkan dua anak kecil bersendirian selama dua hari di rumah, Mahkamah Sesyen Ampang hari ini menjatuhkan hukuman penjara sebulan kepada seorang tukang urut.
Hakim Norshila Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu selepas wanita berusia 41 tahun itu mengaku bersalah terhadap kesalahan tersebut.
Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu yang merupakan ibu tunggal meninggalkan kedua-dua anaknya di sebuah pangsapuri di Taman Kosas, Ampang pada 7 Oktober lepas.
Kesalahan itu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit salah.
Ketika prosiding hari ini, pendakwaan telah memohon hukuman tegas sebagai pengajaran kerana sebagai ibu bapa tidak sepatutnya membiarkan anak-anak mereka tanpa pengawasan.
Hakim turut bertanya keberadaan anak-anak wanita itu dan difahamkan telah ditempatkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Beliau kemudian menetapkan hukuman penjara sebulan dari tarikh tertuduh ditangkap pada 9 Oktober lepas.
Pada 9 Oktober lepas, pusat kawalan IPD Ampang Jaya menerima panggilan orang awam bahawa seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun bersama adiknya terkurung dalam rumah kerana ditinggalkan ibu mereka selama dua hari.
Bomba terpaksa dikerah untuk memecahkan pintu rumah itu sebelum dua kanak-kanak tersebut diselamatkan pihak berkuasa.
Difahamkan, tertuduh meninggalkan kedua-dua anak itu untuk bekerja sebagai tukang urut di sekitar Pudu, di sini. -MalaysiaGazette