KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan beliau tidak mengetahui mengenai sebarang usaha untuk menarik Barisan Nasional (BN) keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Menurut beliau, peranannya sebagai Ketua Panel Penasihat SG4 hanya memberi nasihat berhubung hal ehwal pembangunan di empat negeri pembangkang.
“Saya tidak tahu, saya hanya penasihat kepada SG4 sahaja. Kebanyakan pasal pembangunan, bukan pasal politik,” katanya ringkas kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Buku Idealis: Syed Hamid Albar di sini hari ini.
Dr. Mahathir ditanya berkenaan pendedahan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini yang mana terdapat usaha untuk menarik BN keluar daripada Kerajaan Perpaduan yang dibentuk menerusi kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH).
Tanpa mendedahkan pihak terbabit, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mendakwa, BN turut ditawarkan jawatan Perdana Menteri jika bersetuju dengan cadangan tersebut.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid menolak tawaran itu kerana tidak sanggup mengkhianati rakan dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.
Sementara itu, kepada soalan berkenaan keperluan untuk pemberi maklumat atau whistleblower dilindungi berkait kes dakwaan rasuah melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, Dr. Mahathir berkata, perlindungan tersebut perlu diberikan.
“Saya tak ikuti laporan itu (dakwaan rasuah ADUN Sabah) tapi mana-mana pemberi maklumat mesti dilindungi jika tidak mereka tidak akan beri maklumat,” katanya.
Sebelum ini, Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) melahirkan rasa kecewa terhadap kurangnya sokongan dan perlindungan diberikan pihak berkuasa terhadap pemberi maklumat berkenaan dakwaan rasuah melibatkan sekumpulan ADUN di Sabah.
Menurut C4, pemberi maklumat dalam kes itu secara terbuka mengakui ketakutan terhadap kemungkinan akibat daripada pendedahan yang dibuat, sekali gus meragui perlindungan yang sepatutnya diperoleh di bawah WPA 2010. – MalaysiaGazette