KUALA LUMPUR – Program ‘UPTM Fesshtival’ membuka peluang kepada pelajar kurang bernasib baik mengenali potensi dan membina keyakinan diri.
Menurut Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), program yang dianjur di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBKJ), di sini, pada Isnin lalu merupakan inisiatif tanggungjawab sosial yang bertujuan memperkasakan emosi, sosial, dan kognitif pelajar sekolah tersebut.
“Program anjuran Fakulti Pendidikan, Sains Sosial dan Kemanusiaan (FESSH) yang berlangsung sehari telah melibatkan penyertaan 58 pensyarah dari pelbagai program.
“Ia bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk mengenali potensi diri tetapi juga memupuk motivasi dan membina keyakinan mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, aktiviti yang diadakan melibatkan pelajar dari peringkat prasekolah hingga menengah daripada pelbagai latar belakang.
“Ada studio mini sebagai ruang pembelajaran interaktif untuk pelajar-pelajar tersebut dan mereka juga akan didedahkan dengan maklumat tentang peluang melanjutkan pelajaran di UPTM, sekali gus merancang masa depan mereka dengan lebih terarah,” ujarnya.
Melalui program itu, UPTM turut mengambil inisiatif menambah baik fasiliti sekolah, memberikan sumbangan dalam bentuk barangan dan mengadakan aktiviti berunsur ilmiah.
Dengan penganjuran program sebegini, katanya, universiti tersebut menunjukkan komitmen terhadap pembangunan pendidikan yang holistik serta memberi inspirasi kepada institusi lain untuk melakukan perkara sama demi kebaikan masyarakat. – MalaysiaGazette