KUALA LUMPUR – Malang nasib seorang wanita dari Kuching, Sarawak yang teruja mendapat kerja di sini, rupa-rupanya terjerat dengan sindiket pemerdagangan manusia di Kemboja sejak enam bulan lepas.
Mendedahkan perkara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, wanita berusia 24 tahun telah berlepas dari Kuching pada 19 Jun bersama seorang lagi rakannya.
Bagaimanapun kata Hishamuddin, sejak tiba di Kuala Lumpur, mangsa yang dipercayai ibu tunggal itu terputus hubungan dengan keluarganya.
“Sejak beberapa bulan ini keluarga mangsa menyangka anak mereka bekerja di Kuala Lumpur untuk tempoh empat bulan di sebuah restoran tanpa menyedari dia telah diperdagangkan di Kemboja.
“Keluarga mangsa yang bertemu dengan MHO baru-baru ini selepas mangsa menghubungi ibunya melalui panggilan video dan mendedahkan telah jadi mangsa sindiket.
“Mangsa memberitahu dia dipukul, dikurung dalam tandas dan tidak diberikan makanan sehingga terpaksa minum air paip.
“Wanita itu mohon diselamatkan kerana tidak tahan menjadi mangsa penderaan fizikal, emosi oleh sindiket ini,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi hari ini.
Kata Hishamuddin, keluarga itu juga tidak tahu bagaimana mangsa boleh berada di Kemboja.
Bagaimanapun, laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching oleh keluarga mangsa.
Tambah beliau, MHO sedang mengerakkan aktivis untuk menyelamatkan mangsa di Kemboja menggunakan saluran yang mereka ada.
“Ini bukan kali pertama MHO dedah kes pemerdagangan manusia yang banyak menjadikkan rakyat kita sebagai mangsa.
“Sindiket ini semakin kebal dan berani kerana kini sudah ada banyak banyak kawasan baharu yang dibina bagi kegiatan jenayah ini antaranya Myanmar,” katanya.
Hishamuddin memohon tindakan lebih tegas dan pantas daripada pihak berkuasa khasnya dari negara-negara ASEAN.
Katanya, perlu ada siasatan menyeluruh dan rentas sempadan untuk memberi tekanan kepada negara yang masih tinggi kes-kes jenayah pemerdagangan ini. – MalaysiaGazette