PUTRAJAYA – Operasi kawalan sempadan negara di Rantau Panjang-Sungai Golok berjalan seperti biasa walaupun lima daripada 13 pos statik Pasukan Gerakan Am (PGA) ditutup akibat banjir.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kelima pos berkenaan ditutup kerana dinaiki air hingga paras lantai dan mengancam keselamatan anggota PGA yang bertugas.
Menurutnya, kawalan sempadan negara tidak terjejas biarpun bencana banjir semakin buruk di Kelantan kerana selain PGA, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengadakan kawalan di sempadan berkenaan.
“Kawalan masih berjalan di mana tahap keselamatan sempadan negara berada di tahap tertinggi meskipun negara di landa banjir,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kecemasan bencana banjir, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid dilaporkan berkata, lima daripada 13 pos statik PGA dalam penugasan Op Taring Wawasan di sempadan Malaysia-Thailand, Sungai Golok ditutup akibat terjejas banjir.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, berdasarkan laporan diterima, Sungai Golok di sebelah Thailand telah dibina tembok atau tebatan banjir
“Jadi air dari Sungai Golok itu melimpah ke kawasan kita. Jadi ini satu masalah, walaupun ada kawasan-kawasan yang telah mula dibina tebatan banjir tetapi ianya belum siap sepenuhnya,” katanya.
Mengenai status calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas akibat banjir, Ahmad Zahid berkata, garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) tertentu telah dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi membantu kesemua calon terjejas.
“Mereka (KPM) telah menyediakan garis panduan dan SOP tersendiri sebelum ini bagi menangani masalah peperiksaan untuk calon-calon SPM,” katanya.
Pada masa sama beliau turut meminta mangsa banjir untuk memantau anak-anak sewaktu musim banjir. – MalaysiaGazette