KUALA LUMPUR – Pemimpin politik di negara ini sepatutnya belajar daripada kesan buruk yang terpaksa ditanggung negara dan rakyat ekoran perubahan kerajaan dalam masa singkat sebelum ini akibat tindakan`membeli’ Ahli Parlimen atau lompat parti.
Pemerhati politik, Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol Keling berkata, perubahan beberapa kali pentadbiran negara secara hasutan dan fitnah pasca politik 2018 itu menyebabkan ekonomi negara dan kebajikan rakyat terumbang-ambing.
Ujar beliau yang juga Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), tindakan menukar kerajaan bukan melalui proses demokrasi atau pililhan raya umum (PRU) yang berlaku beberapa kali sebelum ini turut menyebabkan pelabur asing lari ke negara jiran yang lebih stabil seperti Thailand dan Indonesia.
“Walaupun usaha menukar kerajaan atas persetujuan dan sokongan Ahli Parlimen itu adalah selari dengan kebebasan dalam amalan demokrasi, namun tidak semestinya kaedah ini boleh dijadikan pilihan khususnya di Malaysia yang mana model dan budaya amalan demokrasi sederhana yang diamalkan sejak 1957 bersesuaian dengan nilai negara selama ini,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai pendedahan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini yang mana terdapat usaha untuk menarik BN keluar daripada Kerajaan Perpaduan yang dibentuk menerusi kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH).
Tanpa menamakan pihak terbabit, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mendakwa, BN turut ditawarkan jawatan Perdana Menteri jika bersetuju dengan cadangan tersebut.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid menolak tawaran itu kerana tidak sanggup mengkhianati rakan dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.
Ekoran pendedahan Ahmad Zahid itu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim mengakui pernah mengajak BN menyertai PN untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu.
Namun, Shahidan menyifatkan tindakan itu bukan lagi rahsia memandangkan ia pernah beberapa kali dibangkitkan secara umum dalam siri pertemuan di Dewan Rakyat, sebelum ini.
Sementara itu, Faisol menambah, rakyat juga sudah jemu dengan permainan politik sesetengah pemimpin yang hanya mementingkan jawatan dan kuasa tanpa mempedulikan kesan yang akan ditanggung negara dan rakyat.
Malah, ujar beliau, majoriti rakyat ketika ini juga masih bergelut untuk meneruskan hidup kesan ketidakstabilan politik sebelum ini yang diburukkan lagi dengan pandemik Covid-19.
“Malaysia telah melalui perubahan fasa daripada stabil, aman, makmur dan mengecapi kemajuan serta pelbagai pengiktrafan dari luar negara kepada fasa ketidakstabilan akibat budaya politik membeli Ahli Parlimen sebelum ini.
“Sepatutnya, pengalaman itu menjadi pengajaran kepada ahli-ahli politik supaya tidak ada lagi usaha menumbangkan kerajaan sedia ada secara pintu belakang atau bukan melalui PRU,” katanya. -MalaysiaGazette