Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiring oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir melakukan gimik pelancaran pada Majlis Peluncuran Festival Idea Putrajaya 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto SADIQ SANI, 28 NOVEMBER 2024

PUTRAJAYA – Malaysia Madani harus membangun dengan berlandaskan idea pembaharuan yang mencakupi jati diri, bangsa, nilai, budaya, bahasa, keyakinan dan kepercayaan agama dalam kalangan masyarakatnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, apabila idea yang diungkapkannya dimasukkan dengan semangat Madani, ia menjadi relevan dengan pemikiran dan kehidupan rakyat Malaysia.

“Ini kerana kemampanan itu tidak akan memberi makna kalau tidak diasaskan dengan keyakinan kepada agama, erti kehidupan, kemanusiaan, nilai luhur.

“Ramai pintar yang membawa kerosakan, ramai yang punya karisma yang membawa kemusnahan.

“Sebab itu idea itu mesti dipelopori dengan keyakinan,” katanya berucap merasmikan Festival Idea anjuran Kementerian Pengajian Tinggi, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya  hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Peluncuran Festival Idea Putrajaya 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto SADIQ SANI, 28 NOVEMBER 2024

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Perdana Menteri berkata, pentadbiran Kerajaan Madani akan memastikan Malaysia tidak akan ketinggalan dan tersisih dari arus perubahan

“Maka perlu matematik, perlu kalkulus, perlu digital, perlu pelan, perlu AI, perlu membicara soal tenaga baharu kerana tenaga lama sudah dipertikai akan membawa kerosakan, ini memerlukan yang disebut percambahan idea,” katanya.

Menurut Anwar, skandal besar yang berlaku sebelum ini bukan disebabkan individu tertentu sahaja sebaliknya berpunca daripada kelemahan sistem di negara ini.

“Tatakelola yang rosak, rasuah yang menjalar menular, ini merentas semua jabatan dan kedudukan.

“Bila kita bicara skandal skala besar dahulunya, ia bukan libatkan satu dua tokoh, ia melibatkan kelemahan sistem, orang politiknya, penjawat awamnya, peniaga, pengurus dan korporatnya dan sarjananya.

“Kalau tidak, tidak mungkin, keaiban, keterlanjuran berlaku tanpa satu bantahan yang kuat dalam kalangan rakyat termasuk generasi muda.

“Cukup-cukuplah rasuah, perkauman, sentuh sensitiviti agama. Mari kita bergerak sama sebagai sebuah negara yang hebat dan bina Malaysia baharu,” katanya.

Anwar turut mengingatkan semua pihak agar menjauhi  daripada ciri masyarakat jahiliyah jika mahu membina Malaysia baharu.

“Pertama, apabila ada kuasa, kekal kuasa, rakus, zalim dan memunggah kekayaan bagi diri, isteri, keluarga, kroni. Itu ciri masyarakat Jahiliah.

“Kedua yang berharta, hanya memikirkan keuntungan diri dan keluarga, dengan riba dan penindasan. Keuntungan besar tetapi nasib pekerja tidak terbela, gaji pekerja sangat rendah.

“Ketiga yang berilmu, ini cabaran buat kita termasuk mahasiswa dan sarjana, yang berilmu itu tidak menggunakan ilmu untuk menggagaskan sesuatu yang baik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here