JOHOR BHARU – BMW Malaysia yang meraikan ulang tahun ke-20 hari ini Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau di Malaysia dengan peluasan mega kemudahan berteknologi tinggi miliknya di Zon Perindustrian Bebas, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru.
Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau BMW Group dibuka pada 2004 di Gelang Patah, Johor sebelum berpindah ke lokasi sekarang.
Fasiliti berteknologi tinggi dan terkini itu diperlus kepada 65,000 meter persegi berbanding 45,000 meter persegi sebelumnya.
Ini membuktikan komitmen BMW untuk mengukuhkan kedudukan mereka sebagai salah satu fasiliti terbesar seumpamanya di Asia Pasifik.
Pusat ini telah mencatat pertumbuhan signifikan dengan peningkatan perolehan tahunan daripada EURO 141 juta pada 2017 kepada lebih EURO 277 juta pada 2023, hampir dua kali ganda dalam tempoh enam tahun.
Fasiliti ini kini mengendalikan lebih 100,000 inventori masuk dan keluar setiap bulan, menyediakan perkhidmatan kepada lebih 20 pasaran di rantau ini dengan tahap ketepatan dan efisiensi melebihi 99 peratus.
Antara yang menarik dalam fasiliti ini termasuklah kawasan penyimpanan bateri voltan tinggi (HV) khusus, sistem rak lorong sangat sempit (VNA), dan penggunaan bumbung panel solar bagi menyokong inisiatif kelestarian BMW Malaysia.
Dengan konfigurasi dua tingkat, pusat ini turut menyediakan ruang untuk pengembangan masa hadapan.
Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Benjamin Nagel menyifatkan pembukaan fasiliti ini penting bagi terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab strategik serantau bagi BMW Group.
“Pusat ini bukan sahaja simbol kecemerlangan operasi tetapi juga bukti pelaburan kami dalam pembangunan jangka panjang Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran di sini.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid, memuji BMW Malaysia atas pencapaian luar biasa mereka dengan menyifatkan pengembangan ini sebagai bukti kepercayaan terhadap ekosistem ekonomi Malaysia.
“Kemudahan ini melambangkan keyakinan BMW Group terhadap Malaysia sebagai pintu masuk strategik ke Asia Pasifik dan menyokong status negara ini sebagai hab logistik utama,” ujarnya. -MalaysiaGazette