Lim Lip Eng

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara boleh mendakwa semula Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Mohd Irwan Serigar sekiranya terdapat bukti kukuh jenayah pecah amanah dalam kes International Petroleum Investment Company (IPIC).

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, Jabatan Peguam Negara mesti mendakwa semula bekas Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan itu tanpa sebarang kelewatan.

“Tindakan ini penting untuk memastikan proses keadilan dapat diteruskan dengan terbuka, telus, dan adil.

“Jabatan Peguam Negara mempunyai tanggungjawab untuk memastikan keadilan ditegakkan tanpa sebarang kelewatan, kompromi atau halangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi di sini memberikan DNAA kepada bekas Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan itu daripada tuduhan pecah amanah membabitkan harta Kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada IPIC.

Pada 24 Oktober 2018, Najib, 71, dan Mohd Irwan, 67, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion, berkaitan bayaran kepada IPIC.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Selain itu, Lip Eng juga berkata, semua dokumen penting untuk pendakwaan mesti disiapkan sepenuhnya dan dikemukakan dengan teliti serta teratur agar perbicaraan dapat dijalankan dengan lancar tanpa sebarang isu teknikal atau kekangan.

“Kes ini adalah ujian besar terhadap komitmen negara dalam menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang, keadilan, dan kebertanggungjawaban.

“Oleh itu, tindakan tegas, menyeluruh, dan segera amat diperlukan untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap integriti institusi kehakiman negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here