Filem: Kahar: Kapla High Council. - Foto: Sumber Media Sosial

KUALA LUMPUR – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan kesihatan mental belia, Empati menyifatkan tayangan filem Kahar: Kapla High Council tidak kena pada masanya ketika negara sedang berdepan beberapa kes buli yang menjadi kebimbangan masyarakat.

Presiden Empati, Syahida Zulkarnain berkata, terdapat babak dalam filem itu yang memperlihatkan ramai pelajar meraikan sesi ‘perlawanan’ dan ‘ragging’ yang mana babak pergaduhan menjadi babak klimaks yang dinanti-nantikan semua pelajar.

Presiden Empati, Syahida Zulkarnain.

Jelas Syahida yang juga Ahli Parlimen Belia Malaysia, babak seperti itu jelas mengagung-agungkan budaya buli.

“Kita tidak mahu babak seperti itu mula muncul sebagai realiti di alam persekolahan mahu pun universiti.

“Betapa besar kesannya kepada pembentukan budaya buli yang seharusnya kita elakkan.

“Buli bukanlah suatu isu yang boleh dibuat main, apatah lagi dijadikan hiburan yang diagung-agungkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Filem Kahar: Kapla High Council yang merupakan prekuel kepada siri popular Projek: High Council akan ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia dan Brunei bermula 28 November ini manakala di Singapura pula pada  5 Disember depan.

Tambah beliau, Empati menyambut baik usaha beberapa pihak dalam industri hiburan untuk mengetengahkan isu-isu kesihatan mental termasuklah isu buli, yang mana usaha itu dapat mengadvokasi kesedaran dengan lebih empati dalam kalangan Masyarakat.

Namun, jelas beliau, budaya mengagung-agungkan pembuli, bukanlah sesuatu yang wajar pada waktu ini memandangkan masih ada ahli keluarga yang terkesan dengan isu buli, yang pastinya membenci budaya buli yang menghancurkan harapan satu keluarga.

Sehubungan itu, beliau berharap penerbit Kahar: Kapla High Council dapat meneliti semula keputusan menayangkan babak filem tersebut kepada orang awam, dengan mengambil kira kesan jangka panjang kepada budaya buli di negara ini.

“Mungkin ada yang menganggap sebuah filem takkan mengubah sistem, tetapi bagaimana pula dengan persepsi masyarakat, naratif yang dimainkan dalam mengangkat budaya seperti ini dan apa yang paling parah, jika dapat menimbulkan rasa ‘ingin membuli’ dalam kalangan yang berisiko menjadi pembuli.

“Semoga ia bukan menjadi realiti,” katanya.

Sementara itu, Syahida turut mempersoalkan mengapa filem itu dihadkan hanya kepada penonton berusia 18 tahun ke atas sekiranya bertujuan mahu memberi pengajaran berkenaan isu buli.

“Sekiranya mesej yang benar- benar ingin disampaikan kepada umum tentang kesan buli, mengapakah mesej di dalam filem ini tidak boleh disampaikan kepada remaja-remaja yang sering menjadi sasaran pembuli?” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersikap lebih tegas dalam menangani pembuli.

Jelas beliau, institusi yang seharusnya melindungi pelajar-pelajarnya kini sudah menjadi igauan ngeri ibu bapa yang berniat menghantar anak-anak ke sekolah berasrama atau kolej kediaman.

“Kerajaan juga digesa mengkaji semula keberkesanan program sifar buli yang seharusnya selari dan kontemporari untuk belia dan pelajar sekolah dengan menekankan nilai empati bagi mengelakkan pelajar daripada menjadi pembuli,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. jika nak buat pengajaran, fokus kepada akibat dan padahnya perangai acah kapla tu.. tunjuklah akibat dan sengsara yang ditanggung mangsa, dan hukuman berat yang diterima pelaku..
    barulah namanya beri pengajaran. perbuatan dan aksi jahat dan kejam tidak perlu. cukup sekadar suara dan terlindung untuk nampak ada kejadian.
    bukan cara perbuatan, tapi akibat dan hukuman yang perlu jadi fokus utama..

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here