KUALA LUMPUR – Perkembangan teknologi dan penggunaan media sosial kini mencetuskan fenomena pemberian hadiah menerusi syiling digital menerusi aplikasi popular TikTok.
Trend itu dilakukan dengan cara siaran langsung (live) sambil meminta kepada para penonton untuk memberikan hadiah (gift) kepada si pemilik akaun laman media sosial itu.
Kelebihan mendapat hadiah itu dilihat bernilai kerana membolehkan seseorang itu menukarnya dalam bentuk wang.
Namun gara-gara sering memberi hadiah itu, seorang pempengaruh, Firdaus kini tular apabila mengambil kesempatan daripada fenomena itu bagi memberi sedekah dengan membantu orang lain yang memerlukan.
Sebagai usahawan muda, katanya, dia tidak kisah berkongsi rezeki yang dimiliki malah pernah membeli syiling sebanyak RM50,000 dalam satu malam untuk membeli syiling digital dan dihadiahkan kepada pengikut kurang bernasib baik di TikTok.
“Saya tidak boleh lupa kenangan memberi hadiah kepada seorang wanita yang bekerja sebagai tukang cuci tapi dibuang kerja ketika Perintah Kawalan Pergerakkan yang berdepan kesempitan hidup.
“Gara-gara pemberian hadiah, dia memanggi semual anak-anak sambil meluahkan rasa syukur secara langsung di TikTok kerana mendapat bantuan tanpa disangka yang membuatkan saya cukup terharu.
“Sebagai pempengaruh, saya mahu memberi manfaat kepada orang ramai dengan berkongsi rezeki yang ada selain mencipta kandungan yang berilmu,” katanya yang dikenali Fokiyoks di TikTok dengan jumlah hampir 300,000 pengikut.
Bapa kepada dua anak itu memiliki bisnes antaranya pakaian turut memiliki hampir 800,000 langganan di YouTube yang turut memberi pendapatan sampingan kepadanya.
Ketika ini, trend pembelian hadiah TikTok boleh diperoleh dengan cara membeli syiling (coins) terlebih dahulu dan perlu di recharge dengan membuat pembayaran minima 16 coins dengan harga RM1.09.
Demi mendapatkan hadiah, kini ramai pemilik media sosial sanggup tanpa segan memilih jalan mudah untuk meminta hadiah itu sebagai sumber pendapatan sampingan.
Mengulas lanjut, Firdaus mempunyai kaedah tersendiri untuk memberi hadiah itu agar ia sampai kepada golongan sasaran yang memerlukan.
Kata anak kelahiran Negeri Sembilan ini, dia akan memfokuskan kepada pemilik akaun TikTok yang tidak ramai ditonton ketika siaran secara langsung di media sosial yang rata-rata usahawan kecil dan mereka yang kurang berkemampuan.
“Saya pernah hidup susah sejak zaman kanak-kanak malah sejak Tingkatan Tiga saya sudah meniaga untuk mencari wang saku. Pengalaman yang tidak boleh saya lupakan apabila pernah berkongsi makan seekor ikan dengan emak dan adik selain makan nasi berlauk gula.
“Rumah pula hanya memiliki satu bilik dan kami hanya tidur di ruang tamu sempit. Semua kenangan lalu membuatkan saya mahu membantu orang lain di media sosial sebagai cara saya berkongsi rezeki yang lebih,” katanya anak sulung dari tiga beradik itu.
Mengulas perancangannya, Firdaus berhasrat menghadiahkan 10 motosikal model Yamaha RXZ kepada pengikutnya yang layak di media sosial.
Malah dia juga mahu menaja lima pasangan mengerjakan umrah di Tanah Suci pada tahun depan.
“Saya berdoa agar bisnes pakaian yang kini dalam proses pengeluaran di bawah jenama sendiri akan berjaya pada masa depan bagi memenuhi impian miliki kedai pakaian sendiri di dalam pusat beli belah,” katanya. – MalaysiaGazette