Mohamad Sabu (tengah) hadir program Sidang Idea Malaysia (MyIDEAS) di PICC hari ini.

PUTRAJAYA – Peranan institusi pendidikan tinggi (IPT) amat penting dalam mengoptimumkan sumbangannya terhadap keterjaminan makanan di negara ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia dapat disalurkan melalui modal insan terlatih, penyelidikan dan inovasi serta pemodenan pertanian pintar.

Menurut beliau, menerusi kepakaran IPT itu, produktiviti hasil pertanian dan agromakanan dapat dipertingkatkan menerusi penggunaan teknologi mampan kepada komuniti tani.

“Hasilnya kelak akan dapat dirasai dan dinikmati secara bersama oleh rakyat.

“Saya yakin masih terdapat banyak peluang dan inisiatif yang boleh dimanfaatkan oleh pihak kerajaan menerusi kepakaran di IPT dalam memberi pendedahan dan kesedaran kepada rakyat.

“Anjakan minda amat penting dalam menarik minat golongan muda sekaligus membuka laluan untuk mereka memajukan sektor pertanian negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Sidang Idea Malaysia (MyIDEAS) menerusi Sidang Selari 7 bertemakan Keterjaminan Makanan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Sabu berkata, dalam memastikan kelangsungan daya tahan sistem makanan negara, komitmen semua pihak berkepentingan sama ada dari pihak kerajaan, swasta, institusi pendidikan, komuniti tani dan masyarakat penting dalam memperkukuh keterjaminan makanan.

Menurutnya, ini kerana impaknya ke atas tahap produktiviti negara semakin meningkat, penjanaan pendapatan golongan sasar semakin baik sekali gus meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

“Justeru, marilah kita bersama-sama menyokong usaha ini dan memastikan bahawa setiap rakyat Malaysia mendapat bekalan makanan yang mencukupi, selamat, dan berkhasiat,” katanya.

Sementara itu, MyIDEAS anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi sempena Festival of Idea Putrajaya (Putrajaya FOl) itu adalah usaha mengangkat Putrajaya sebagai The City of Ideas untuk Malaysia dan dunia.

Putrajaya FOl menghimpunkan lebih 80 pemimpin, pakar bidang, ahli akademik dan industri dalam pentas forum dan sidang selari menerusi MyIDEAS. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here