KUALA LUMPUR – Kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) digesa menjalankan siasatan terperinci berhubung isu kenaikan mendadak kos perubatan swasta dan caj premium insurans perubatan.
Naib Presiden MCA, Datuk Lawrence Low berkata, ia bagi mengelakkan syarikat insurans menyalahgunakan kuasa pasaran dengan menaikkan harga produk mereka sewenang-wenangnya.
Jelas beliau, sesi libat urus antara Bank Negara Malaysia (BN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bersama wakil syarikat insurans dan hospital swasta perlu diadakan bagi mengetahui punca kepada kenaikan harga insurans perubatan tersebut.
Ujar beliau, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk melindungi hak dan kepentingan pengguna serta memastikan pemegang polisi tidak menjadi mangsa kenaikan harga perkhidmatan perubatan yang tidak munasabah.
“Kerajaan perlu memainkan peranan dalam mencari penyelesaian kepada masalah ini supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung rakyat.
“Ini bukan sahaja untuk kepentingan pemegang polisi, tetapi turut melibatkan pembangunan mampan sistem perubatan negara,” katanya menerusi satu kenyataan.
Media sebelum ini melaporkan, polisi insurans perubatan semakin membebankan apabila dijangka naik antara 40 hingga 70 peratus tahun depan berdasarkan notis yang dihantar oleh para penanggung polisi kepada pengguna.
Alasan yang diberikan adalah kos perubatan di hospital swasta semakin mahal.
Keadaan itu menyebabkan ramai pengguna menamatkan polisi insurans perubatan mereka kerana tidak lagi mampu menanggung peningkatan premium yang perlu dibayar setiap bulan
Tambah Lawrence, kenaikan harga premium insurans perubatan bukan sahaja memburukkan keadaan ekonomi rakyat, malah meningkatkan tekanan sosial dan mampu menimbulkan ancaman kepada perlindungan asas pemegang polisi.
Ujarnya, syarikat insurans perlu mendedahkan data kewangan mereka secara terbuka dan menjelaskan sama ada pampasan yang diberikan kepada pemegang polisi adalah munasabah dengan jumlah premium yang telah dibayar.
“Jika menghadapi tekanan kerugian yang besar, maka syarikat insurans bertanggungjawab untuk mengukuhkan kawalan kos, bukannya menaikkan premium kepada pengguna secara semborono iaitu tindakan yang tidak berhati-hati, terburu-buru serta tidak memikirkan akibatnya,” katanya.
Sementara itu, tambahnya, laporan kewangan hospital swasta pada setiap akhir tahun menunjukkan tiada satu pun daripada hospital terbabit mengalami kerugian.
Namun, ujar beliau, kadar inflasi kos perubatan di negara ini jauh lebih tinggi daripada purata global.
“Pada tahun 2023, kadar inflasi kos perubatan negara ini mencapai 12.6 peratus iatu dua kali ganda daripada purata global sebanyak 5.6 peratus,” katanya. – MalaysiaGazette