KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang memliki 20 rekod kes jenayah lampau ditahan kerana terlibat dengan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah berskala kecil di kawasan Jalan Petaling.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, lelaki berusia 48 tahun itu dicekup oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di tepi Jalan Tun Tan Siew Sin, di ibu negara, kelmarin.
Katanya, berdasarkan pemeriksaan pihaknya menemui dadah jenis heroin dengan anggaran berat 26.10 gram bernilai RM652.
“Hasil soal siasat yang dijalankan polis percaya suspek bergiat aktof dalam penyalahgunaan dan pengedaran dadah berskala kecil di kawasan Jalan Petaling.
“Ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis morphine,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Sulizmie Affendy lagi, semakan rekod mendapati, suspek mempunyai kes lampau atas pelbagai kesalahan jenayah dan dadah.
Ujarnya, suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 3 Disember depan di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) akta sama.
Beliau turut menasihatkan orang ramai asar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti berkaitan penyalahgunaan dadah dan menyeru agar maklumat dapat disalurkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui berlaku kegiatan terbabit di kawasan mereka. – MalaysiaGazette