KUALA LUMPUR – Malaysia merupakan antara negara pertama menandatangani Konvensyen Makkah Al-Mukarramah yang menegaskan komitmen terhadap Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC) di peringkat global.
Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), perjanjian itu melibatkan pertukaran maklumat dan kepakaran.
“Delegasi Malaysia diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan disertai oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
“Program ini dianjurkan bersama oleh OIC dan Qatar Administrative Control and Transparency Authority (ACTA),” katanya dalam satu kenyataan , hari ini.
Perjanjian tersebut dimeterai pada Mesyuarat Menteri Kedua Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang Antirasuah Negara-Negara Anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang diadapan pada 26 dan 27 November lalu.
Menurut SPRM, perkara ini merupakan komitmen kerajaan melalui Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional 2024-2028 (NACS) untuk memerangi rasuah di peringkat antarabngsa.
Selain itu, menurut kenyataan tersebut, delegasi Malaysia turut mengadakan pertemuan dengan Dekan International Anti-Corruption Academy (IACA), Profesor Slagjana Taseva untuk membincangkan kerjasama strategik, termasuk penganjuran IACA Regional Summer Academy di Kuala Lumpur pada 2025.
=”Penyertaan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara negara anggota OIC, tetapi juga menonjolkan iltizam Malaysia dalam mempromosikan ketelusan, akauntabiliti, dan integriti di peringkat global,” katanya.
Sementara itu, Azalina berkata, Malaysia mencatatkan pencapaian membanggakan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) apabila naik ke tangga ke-57 daripada 180 negara.
“Langkah ini disokong pelbagai inisiatif baharu, termasuk Akta Kebebasan Maklumat, pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, dan cadangan penggunaan mekanisme Deferred Prosecution Agreements (DPA),” ujarnya.