KUALA LUMPUR – Kematian pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi MARA (UiTM), 13 November lalu berpunca akibat strok haba dan kegagalan pelbagai organ.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 2.01 pagi.
“Penuntut itu disahkan meninggal dunia pada 13 November lalu. Punca kematian disebabkan ‘heat stroke with multiorgan failure’ dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Menurut bapa kepada penuntut itu, dia dimaklumkan anaknya telah dimasukkan ke Hospital Shah Alam dalam keadaan tidak sedarkan diri di padang kawad pada 10 November.
“Hasil siasatan polis mendapati, penuntut terbabit telah menyertai Palapes di UiTM Shah Alam sejak penghujung Oktober lalu sebelum latihan asas bermula tahun hadapan.
“Pada hari kejadian, penuntut itu didenda oleh jurulatih untuk melakukan tekan tubi kerana ketinggalan dalam sesi larian sebelum dilihat melompat-lompat lalu terjatuh dan rebah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pelatih terbabit telah pengsan sebelum dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, semasa rawatan di wad kecemasan Zon Merah, pelatih terbabit dalam keadaan separa sedar dan mengalami suhu badan yang tinggi.
“Rawatan awal telah diberikan dalam usaha untuk hidrasi namun mangsa tidak memberikan tindak balas positif.
“Pelatih berkenaan telah mengalami kekejangan dan rawatan susulan telah diberikan sebelum dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi,” ujarnya.
Tambah beliau, sehingga kini polis telah mengambil keterangan sembilan saksi termasuk bapa pelatih terbabit yang membuat laporan polis pada 15 November.
Beliau juga meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Asisten Superintenden Mohd Khairi Kamaruddin di talian 012-2666025. – MalaysiaGazette