KUALA LUMPUR – Permohonan Fasa 1 untuk mengikuti pengajian Program Matrikulasi Sesi 2025/2026 kepada pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024 dibuka bermula 1 Disember ini hingga 28 Februari 2025.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, permohonan Fasa 2 dan pengemaskinian maklumat pelajar akan dibuka selama lima hari selepas keputusan SPM diumumkan.
Tambahnya, permohonan ke Program Matrikulasi KPM adalah percuma dan pelajar boleh memohon melalui laman sesawang https://matrikulasi.moe.gov.my.
“Keputusan permohonan akan dikeluarkan oleh Bahagian Matrikulasi KPM melalui laman sesawang dalam tempoh 21 hari bekerja selepas keputusan SPM tahun 2024 diumumkan,” demikian menurut kenyataan itu hari ini.
Tambahnya, pelajar yang berjaya mendapat tawaran ke Program Matrikulasi KPM perlu memuat turun dan mencetak sendiri surat tawaran dan dokumen pendaftaran melalui laman sesawang semakan keputusan tawaran Program Matrikulasi KPM. – MalaysiaGazette