JASIN – Pesara kerajaan termasuk tiga pasangan suami isteri dan dua lelaki adalah antara lapan individu dipercayai pengikut ajaran sesat Millah Abraham ditahan pihak berkuasa dalam satu operasi bersepadu awal pagi tadi.
Kesemua mereka berumur antara 28 dan 72 tahun itu ditahan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam serbuan di empat buah rumah sekitar Jasin dalam operasi melibatkan kekuatan 70 pegawai dan anggota berakhir 4 pagi.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, tangkapan dibuat selepas menerima aduan awam mengenai penyebaran dan pengamalan ajaran Millah Abraham yang telah diwartakan di negeri Melaka sebagai menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam.
“Susulan itu, kita menahan lapan individu iaitu lima lelaki dan tiga perempuan termasuk tiga pasangan suami isteri dan dua lelaki dalam empat serbuan berasingan secara serentak dalam daerah Jasin.
“Kesemua orang yang disyaki (OYDS) berumur antara 28 dan 72 tahun adalah pesara kerajaan, pekerja swasta, bekerja sendiri dan suri rumah,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Tambahnya, menerusi soal siasat yang dijalankan terhadap OYDS, ada antara mereka mengaku sudah beberapa tahun tidak menunaikan solat fardhu lima waktu sehari dan solat Jumaat.
“Pengajian pengikut ajaran tersebut dilakukan secara dalam talian menerusi beberapa aplikasi tertentu dan mereka juga aktif untuk merekrut ahli baharu terdiri daripada ahli keluarga dan kenalan.
“Hasil penggeledahan terdapat banyak barang kes telah disita dan dirampas, antaranya buku berkaitan ajaran Millah Abraham seperti Ruhul Qudus Eksistensi dan Esensi Al-Quran.
“Buku lain adalah Jalan Kebenaran Universal, Renungan Spiritual, Membaca Alam Membaca Zaman selain peralatan elektronik berupa komputer riba, telefon bimbit turut dirampas bagi membantu siasatan,” jelasnya lagi.
Menurut Rahmad, kesemua OYDS disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 iaitu menghina agama Islam dengan mengingkari atau Melanggar fatwa yang telah diwartakan.
“Mereka juga dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 60 Enakmen sama iaitu kesalahan ajaran salah dan Seksyen 48 iaitu kesalahan penerbitan agama yang berlawanan dengan hukum syarak,” katanya.
Tambah beliau, umat Islam khususnya di Melaka dinasihati agar menjauhi mana-mana fahaman atau ajaran yang telah difatwakan dan diwartakan sesat dan menyeleweng dari ajaran Islam dan hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal al-Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.
Untuk rekod, ajaran sesat Millah Abraham@Ibrahim yang dikesan di negeri ini sejak 2016, adalah antara 36 kumpulan ajaran di Melaka telah diwartakan sesat pada 17 Ogos 2017- MalaysiaGazette