KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan pemilik kamera papan pemuka (dashcam) yang terbabit dalam insiden sebuah kereta didakwa memandu secara melulu dan berbahaya di Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) dekat USJ di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya telah mengesan rakaman video berdurasi 48 saat yang tular di media sosial memaparkan kejadian tersebut.

“Semakan mendapati, dalam rakaman video bertarikh semalam pada 8.43 pagi, kelihatan pemilik kenderaan merupakan seorang wanita cina sedang memandu di lorong tengah dari arah LDP menghala ke arah USJ.

“Secara tiba-tiba kelihatan sebuah kereta Perodua Myvi berwarna merah memotong dari kiri ke kanan menyebabkan wanita itu membunyikan hon sebanyak tiga kali kerana tindakan pemandu terbabit mengubah haluan yang hampir menyebabkan kemalangan.

“Pemandu kereta itu merupaka seorang lelaki kemudian berhenti di hadapan kereta wanita terbabit menyebabkan mangsa mengubah haluan ke kanan untuk meneruskan perjalanan namun dihalang dua kali oleh pemandu itu.

“Setelah beberapa saat berlalu, pemandu lelaki terbabit meneruskan perjalanannya menghala ke atas USJ dan tiada sebarang pergaduhan atau kemalangan berlaku dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Wan Azlan, pihaknya sudah mengesan pemandu kereta Perodua Myvi iaitu lelaki tempatan berusia 46 tahun dan sudah hadir memberi keterangan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

Kes terbabit akan disiasat mengikut Peraturan 16(1) LN 166/59 kerana menghalang lalu lintas.

“Pemilik kamera papan pemuka yang terbabit kejadian itu perlu tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Hamdan Jeramatin di talian 019-4642222. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here