KUALA LUMPUR – Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) 2024 menjadi platform utama melahirkan wanita sebagai agen perubahan dalam masyarakat terutama dalam sektor ekonomi, politik, sosial, dan perundangan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perkara itu dilihat sebagai langkah proaktif melahirkan pemimpin wanita baharu dan memperkasakan wanita dengan pendekatan ‘Wanita Perkasa Wanita’.
“Inisiatif ini selaras dengan wawasan Malaysia MADANI yang mengutamakan kemajuan inklusif dan daya saing negara.
“Melalui pogram ini sebanyak 26 projek telah menerima kelulusan Jawatankuasa Pemilihan PERANTIS dengan peruntukan RM1.2 juta dan seramai 1,544 peserta terlibat dalam pelbagai program yang dirancang, semuanya bertujuan untuk memperkasa wanita dalam lapangan masing-masing,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) 2024 di sini, semalam.
Beliau berkata, program ini turut mendapat sokongan penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah meluluskan dana RM5 juta sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada Mac lalu.
Menurutnya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) berharap PERANTIS dapat menarik lebih ramai wanita berbakat dan seterusnya mencipta pelapis kepimpinan muda yang berwibawa.
“Penyertaan wanita dalam bidang pembuatan keputusan telah menjadi fokus sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), dengan dasar sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat tertinggi sektor awam diperkenalkan danlLangkah ini bertujuan mengatasi kekurangan wakil wanita di peringkat pengurusan tinggi.
“Pemerkasaan wanita dalam sektor awam dan swasta bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial tetapi juga memperkukuhkan matlamat masyarakat mampan keran wanita kini dilihat sebagai elemen penting dalam pembangunan negara,” ujarnya.
Tambahnya, kerajaan berharap pelaksanaan program PERANTIS akan menjadi pemangkin kepada usaha lebih besar dalam membina budaya inklusif serta kesaksamaan gender dan dapat melahirkan lebih ramai pemimpin wanita berkaliber yang mampu membawa Malaysia ke tahap yang lebih cemerlang. – MalaysiaGazette