Kor Ming (empat dari kiri) menyerahkan hadiah kepada pemenang pada Majlis Apresiasi sempena Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan (HKSK) 2024, di Hotel Everly Putrajaya di sini, hari ini.

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang untuk mewujudkan pusat pandu lalu kitar semula (DTRC) atau sekurang-kurangnya fasiliti kitar semula sebagai salah satu syarat permohonan untuk mendapatkan lesen perniagaan pusat beli-belah, tahun depan.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, sehingga kini, sebanyak 5,836 kemudahan kitar semula telah dikenalpasti di tujuh negeri yang menerima pakai Akta 672 manakala, 153 DTRC telah diwujudkan di Malaysia.

“Inisiatif ini tidak mungkin terwujud tanpa sokongan daripada pihak swasta mahupun orang awam yang memanfaatkan kemudahan ini,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi sempena Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan (HKSK) 2024, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Lee Hoy San.

HKSK merupakan acara tahunan yang disambut sejak 2015 bagi menyemarakkan amalan dan budaya kitar semula dalam kalangan masyarakat.

Tujuan utama HKSK diadakan setiap tahun adalah bagi mendidik masyarakat berkenaan kepentingan menjaga alam sekitar serta memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada pihak-pihak yang giat melaksanakan inisiatif-inisiatif terhadap penjagaan kebersihan dan amalan 3R supaya menjadi insiprasi kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, bagi mewujudkan sistem pengurusan sisa pepejal yang holistik, cekap dan mampan serta selaras dengan hierarki pengurusan sisa, pihaknya telah mensasarkan peningkatan Kadar Kitar Semula Kebangsaan kepada 40 peratus menjelang 2025.

Ujarnya, sehingga tahun 2023, Kadar Kitar Semula Kebangsaan telah mencapai 33.17 peratus.

“Bagi memperhebat amalan kitar semula selaras dengan aspirasi Malaysia Madani yang mementingkan kelestarian, saya ingin menyeru agar kita mengamalkan konsep 4R dengan penambahan elemen baharu, iaitu rethink (fikir semula).

“Konsep ini bukan sahaja mengajak kita untuk berfikir semula sebelum menggunakan sesuatu, tetapi juga berfikir semula atau menilai semula sistem sedia ada dan mencari jalan untuk memperbaikinya,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here