KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berharap wang zakat serta wang tidak patuh syariah dapat disalurkan segera bagi membantu mangsa banjir.
Selain itu, Zulkifli yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan berkata, beliau turut berharap kerjasama bersepadu antara agensi agama di peringkat Persekutuan dan Pihak Berkuasa Agama Negeri dapat dipergiatkan susulan bencana alam tersebut.
Ujar beliau, kebimbangan utamanya ketika ini adalah terhadap nasib kelompok asnaf, fakir miskin, para pelajar serta para tuan guru pondok yang dekat di hatinya, tanpa mengurangkan kasih kepada semua lapisan rakyat Kelantan.
“Bertanya khabar tentang perkembangan usaha kerajaan Kelantan menghadapi banjir dengan kekanda YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji. Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Besar Kelantan.
“Saya meneliti laporan akhbar hari ini yang melaporkan lebih 40,000 mangsa terkesan dengan banjir di Kelantan kali ini. Keadaan mungkin akan lebih memburuk.
“Malah, saya turut dimaklumkan rumah YAB Menteri Besar juga dilanda banjir.
“Saya menyambut baik usaha Kerajaan Persekutuan melalui agensi-agensi yang terbabit terutamanya NADMA dalam persiapan Monsun Timur Laut (MTL) kali ini,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sekurang-kurangnya enam buah negeri ketika ini dilanda banjir dengan seramai 41,565 mangsa banjir membabitkan 12,694 keluarga kini ditempatkan di 369 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 12 tengah hari tadi.
Berdasarkan data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kelantan merekodkan jumlah paling ramai mangsa yang dipindahkan iaitu 34,385 orang melibatkan 10 daerah yang dilanda banjir. – MalaysiaGazette