ALOR GAJAH – Tahanan lelaki warga Indonesia yang meloloskan diri dari pekarangan Kompleks Mahkamah Alor Gajah pagi Isnin lalu berjaya ditahan polis di kawasan kebun durian dekat Taman Melaka Pindah di sini lewat petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Md Nazri Zawawi berkata, suspek dalam tahanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berusia 38 tahun berjaya ditahan pada pukul 6.10 petang menerusi Op Kesan yang dilancarkan sejak Isnin lalu.
Menurutnya, operasi melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah selain mendapat kerjasama daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah serta JKDM.
“Semasa tangkapan dalam kebun durian, berlaku pergelutan apabila suspek warga Indonesia cuba melarikan diri namun berjaya diberkas pada pukul 6.10 petang.
“Pemeriksaan mendapati tangan suspek sudah tidak bergari namun kita percaya suspek tidak mendapat bantuan individu lain selama empat hari melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, suspek akan direman di Mahkamah Alor Gajah dan kes disiasat di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Isnin lalu MalaysiaGazette melaporkan Polis Melaka sedang memburu suspek yang berjaya meloloskan diri sekitar 10.10 pagi itu dalam keadaan kedua-dua tangan bergari di hadapan.
Suspek disyaki lari dengan memanjat pagar mahkamah menuju kawasan semak selepas menolak pegawai pengiring JJKDM ketika dalam perjalanan untuk dibawa masuk ke dalam kereta.
Tahanan dari Penjara Sungai Udang itu dibawa ke Mahkamah Alor Gajah untuk sebutan semula kes yang dituduh di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. – MalaysiaGazette