KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang mengecam tindakan tidak bertanggungjawab Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas yang menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin ke-17 terkaya di dunia.
Ketuanya, Fadzli Roslan berkata, tuduhan liar ini bukan sahaja memalukan tetapi juga membuktikan kecenderungan Pas untuk bermain politik fitnah demi kepentingan politik sempit mereka.
“Sebagai wakil rakyat yang diamanahkan oleh rakyat, ADUN tersebut sepatutnya berpegang kepada prinsip kebenaran, bukannya menyebarkan maklumat palsu yang bertujuan mencemarkan imej Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan.
“Tindakan ini memperlihatkan politik terdesak Pas dan lebih gemar mencetuskan kebencian berbanding menyumbang kepada kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan ADUN Penaga, Yusni Mat Piah yang memetik laporan dalam talian yang menyenaraikan beberapa pemimpin termasuk Anwar sebagai pemimpin ke-17 yang terkaya di dunia.
Perkara itu dibangkitkan ADUN Pas itu semasa sesi perbahasan Belanjawan Pulau Pinang pada Rabu.
Sehubungan itu, pihaknya menggesa Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang menggantung ADUN Pas terbabit sebagai langkah tegas untuk melindungi integriti institusi.
“ADUN berkenaan perlu memohon maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri dan rakyat atas fitnah yang tidak bertanggungjawab ini.
“Rakyat Malaysia telah penat dengan budaya politik fitnah yang sengaja diwujudkan untuk menimbulkan kekeliruan dan kebencian,” katanya.
Katanya lagi, AMK Pulau Pinang menegaskan bahawa politik seperti ini harus dihentikan serta-merta dan Pas perlu menyedari era politik kebencian sudah berlalu, dan rakyat kini menuntut kepimpinan telus, progresif dan fokus kepada pembangunan.
“AMK Pulau Pinang berdiri teguh bersama Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan dalam merealisasikan aspirasi rakyat Malaysia.
“Kami tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba menghalang usaha ini melalui politik kotor dan tidak bermaruah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
sblm ni bloomberg, kemudian cnn.. skrg ni isu senarai terkaya.. sepatutnya jpm yang menjawab atau mengambil tindakan kepada media berkenaan.. bukan parti pula k0yak dan p4nas.. bing4i apa punya penc4cai salahkan adun. sedangkan yang buat siaran tu media… terlajak makan ded4k ka…