GEORGE TOWN – Padah beraksi di jalan raya menggunakan basikal lajak, tujuh kanak-kanak lelaki ditahan polis bagi proses dokumentasi dalam kejadian di Lebuh Relau 4, dekat sini, semalam.
Menurut laman Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, kesemua kanak-kanak berusia 11 hingga 13 tahun itu kemudian diserah kepada ibu bapa dan waris masing-masing pada hari sama.
“Berdasarkan aduan orang awam terdapat aktiviti sekumpulan kanak-kanak bermain basikal lajak di jalan raya kawasan berkenaan sehingga mengganggu ketenteraman sekali gus berbahaya kepada pengguna jalan raya.
“Susulan itu, pihak polis buat rondaan sebelum mendapati seramai tujuh kanak-kanak lelaki sedang bermain basikal lajak.
“Kesemua kanak-kanak itu dibawa ke Balai Polis Sungai Nibong bagi tujuan dokumentasi sebelum diserah kepada waris penjaga masing-masing,” katanya, hari ini.
Sehubungan itu, polis menasihatkan ibu bapa agar sentiasa mengawasi pergerakan dan aktiviti anak masing-masing bagi memastikan mereka tidak melakukan sebarang aktiviti yang berbahaya kepada diri sendiri dan orang lain.
Terdahulu, tular rakaman video memaparkan sekumpulan kanak-kanak bermain basikal lajak di jalan raya meskipun ketika cuaca hujan. – MalaysiaGazette