Abang Fikri Azad (kanan) bersama bapanya, Abang Mohamad Arip didakwa atas tiga pertuduhan menerima wang deposit tanpa lesen sah di Mahkamah Sesyen Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.

BALIK PULAU – Dua beranak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan menerima deposit berjumlah RM50,000 tanpa lesen sah daripada seorang lelaki bagi pelaburan syarikat perkhidmatan pembersihan, sembilan tahun lalu.

Tertuduh, Abang Fikri Azad Abang Mohamad Arip, 35, dan bapanya, Abang Mohamad Arip Abang Aerowaini, 70, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.

Mengikut kesemua pertuduhan kedua-dua mereka didapati menerima wang deposit RM50,000 daripada Zakaria Abdul Rahman, 38, tanpa suatu lesen yang sah yang diberikan dibawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Bekas anggota pasukan beruniform dan bapanya yang merupakan pesara badan beruniform sama didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Bayan Baru dekat sini antara 8 Mei hingga 5 Jun 2015.

Bagi kesalahan tersebut kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 137 (2) Akta yang sama.

Dua beranak itu tidak mengaku salah atas kesemua pertuduhan.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun atau denda maksimum RM50 juta atau kedua-duanya sekali.

Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Lim  Jin Hong menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan dilarang ganggu saksi pendakwaan, lapor diri di balai polis berhampiran kediaman dan serah pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam, S. Jeevah yang mewakili dua beranak itu meminta jaminan minima atas alasan anak guamnya kini bekerja sebagai pemandu e-hailing dengan pendapatan bulan antara RM1500 hingga RM2,000 serta perlu menyara isteri, dua anak serta ibu bapa mentuanya.

“Manakala anak guam kedua saya merupakan pesara kerajaan yang menerima pencen bulan berjumlah RM2,000 dan menyara isterinya,” katanya.

Hakim kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM36,000 bagi kesemua pertuduhan bersama seorang penjamin tempatan serta syarat tambahan seperti yang ditawarkan Jin Hong.

Mahkamah menetapkan 6 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here