SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mentalkinkan reformasi yang pernah diperjuangkannya sebelum ini demi menjaga kedudukannya.
Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhammad Hilman Idham mendakwa, jika dulu Presiden PKR itu melawan Akta Hasutan kini kerajaan yang diterajuinya menggunakan akta berkenaan untuk menyemarakkan politik dendam.
“Putrajaya terus menyemarak politik dendam. Suara rakyat dibungkam, pemimpin yang tidak sehaluan didakwa di mahkamah, netizen yang mengkritik diburu hingga ke rumah, hak asasi manusia dirobek dan dimamah.
“Bayangkan insan yang dulunya berbicara tentang reformasi sekarang ini cakap tidak serupa bikin,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Armada Bersatu, di sini, hari ini.
Beliau turut mendakwa dasar-dasar politik di bawah kerajaan Madani bercelaru.
Malah katanya, Anwar sendiri membuka aib sendiri apabila menjadikan sumbangan syarikat swasta untuk menanggung kos lawatan rasminya ke luar negara baru-baru ini.
“Beliau hanya mengira sumbangan syarikat swasta untuk menanggung kos lawatan beliau, delegasi dan keluarga tanpa rasa bersalah.
“Ketimbang negara jiran kita yang tegas mempertahankan intergriti dan maruah negara apabila berlakunya korupsi dan salah guna kuasa di kalangan pemimpin tertinggi negara,” tambah beliau.
Pada persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini, Anwar mendedahkan kira-kira 70 hingga peratus kos perjalanan dan lawatan rasminya ke lima negara ditanggung syarikat swasta yang turut mengikuti lawatan tersebut.
Sehubungan itu, Hilman mengisytiharkan bahawa kompas politik Madani sebagai terpesong.
“Wajib hukumnya kita untuk menumbangkan rejim Madani. Seluruh ketumbukan Armada mesti bekerja keras dan berjuang membawa obor perjuangan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) kembali ke Putrajaya,” ujarnya. – MalaysiaGazette