KUALA LUMPUR- Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) menawarkan bantuan khas banjir termasuk moratorium untuk semua pembiayaan individu dan perniagaan yang terjejas banjir sehingga enam bulan.
Selain itu, bank berkenaan turut menawarkan penggantian kad debit dan kad kredit tanpa sebarang bayaran kepada pelanggannya yang terjejas banjir.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, pihaknya amat prihatin terhadap kesulitan yang dihadapi pelanggannya termasuk individu serta perniagaan dan berharap bantuan khas banjir ini dapat memberi kelegaan kepada mereka yang terlibat.
“Sebagai sebuah institusi perbankan Islam penuh yang sentiasa komited dalam mencipta ‘Kehidupan Lebih Baik, Bersama’ pelanggannya, kami bertanggungjawab memainkan peranan penting dalam menyokong dan membantu komuniti menempuhi waktu getir ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pelanggan yang menghadapi kesulitan kewangan disebabkan bencana itu boleh memohon bantuan khas tersebut dengan memuat turun borang permohonan “Service Request Form” (SRF) yang tersedia di laman sesawang Bank Muamalat di www.muamalat.com.my dan menghantar dokumen sokongan yang berkaitan menerusi emel [email protected].
Katanya, langkah proaktif akan diambil bagi memastikan proses dokumentasi dan kelulusan permohonan dipermudahkan.
Bagi pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat nasihat, boleh mengunjungi cawangan Bank Muamalat terdekat atau menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 03-2600 5500.- MalaysiaGazette