Ibu Pejabat Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 17 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) mengarahkan operator insurans dan takaful (ITO) untuk menyemak strategi penentuan semula harga harga insurans perubatan dan kesihatan (MHIT) bagi memastikan pelaksanaan yang lebih wajar.

BNM dalam satu kenyataan berkata, hal itu termasuk menguruskan secara berterusan kenaikan premium atau sumbangan dengan mengambil kira impak terhadap pemegang polisi atau peserta takaful.

Di samping itu, katanya, ITO juga dikehendaki menyediakan pilihan penyelesaian yang sesuai untuk pemegang polisi atau peserta yang sangat terkesan disebabkan oleh peningkatan premium atau sumbangan bagi terus mempunyai perlindungan insurans dan takaful.

Selain itu, tambahnya, ITO juga perlu memastikan pilihan penyelesaian yang disediakan adalah bermakna dan menyediakan langkah-langkah tambahan untuk menyokong pemegang polisi atau peserta takaful yang terjejas.

“Maklumat lanjut tentang pilihan tersedia akan diumumkan oleh industri insurans dan takaful dalam masa terdekat.

“BNM kekal komited bagi memastikan orang ramai terus mempunyai akses kepada produk insurans dan takaful yang bersesuaian,” demikian menurut kenyataan itu semalam.

Menurut BNM, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kos penjagaan kesihatan telah meningkat dengan ketara berikutan inflasi kos perubatan dan peningkatan penggunaan perkhidmatan dan prosedur perubatan.

Oleh itu, katanya, pembaharuan yang komprehensif dan terlaras untuk membendung inflasi kos perubatan adalah sangat penting bagi memastikan akses berterusan kepada produk perlindungan MHIT yang bersesuaian.

“Pihak berkepentingan yang relevan (termasuk ITO, Kementerian Kesihatan, Persatuan Hospital Swasta Malaysia, pengamal perubatan, kumpulan pengguna, pemegang polisi dan peserta takaful) dan BNM perlu bekerjasama untuk mencapai matlamat ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, polisi insurans perubatan semakin membebankan apabila dijangka naik antara 40 hingga 70 peratus tahun depan berdasarkan notis yang dihantar oleh para penanggung polisi kepada pengguna.

Alasan yang diberikan adalah kos perubatan di hospital swasta semakin mahal.

Keadaan itu menyebabkan ramai pengguna menamatkan polisi insurans perubatan mereka kerana tidak lagi mampu menanggung peningkatan premium yang perlu dibayar setiap bulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here