KUALA LUMPUR – Keadaan jalan yang licin dan kecuaian antara faktor kenderaan pengangkut kereta perisai (KPKP) terbabit kemalangan di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak pada awal 8 November lalu.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, perkara itu baru sahaja diputuskan oleh lembaga siasatan baru-baru ini yang menyiasat nahas tersebut.
“Hasil dapatan telah mengenal pasti keadaan cuaca merupakan salah satu punca utama disebabkan permukaan jalan licin. Selain itu, momentum dan muatan yang berat daripada dua buah KPKP turut menyumbang kepada kemalangan tersebut.
“Bagaimanapun, ada juga unsur kecuaian membabitkan memandu laju melebihi had daripada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pengurniaan Pangkat kepada seorang wira yang menyelamatkan empat remaja daripada lemas di Puncak Alam.
Muhammad Hafizuddeain juga menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan kecuaian mana-mana pihak sama ada pemandu mahupun penyelia konvoi.
“Kita akan ambil tindakan dan menilai tindakan yang perlu, selain mereka yang bertanggungjawab akan menghadapi prosiding tatatertib selaras dengan peraturan tentera.
“Sebarang pergerakkan konvoi tentera beroperasi di bawah SOP yang ketat, memerlukan kenderaan pengiring dan mematuhi had laju ditetapkan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
“Kami tidak mahu pergerakkan yang melibatkan kenderaan dan peralatan kami boleh menjejaskan atau membahayakan pengguna jalan raya selain berisiko merosakkan aset kerajaan, kami perlu berhati-hati,” jelasnya.
Tambah beliau, tiada kerosakan yang ke atas kenderaan perisai terbabit namun hanya kenderaan pengangkut yang mengalami kerosakan.
“Terdapat kerosakan pada treler dan pengangkut, dengan kos pembaikan yang kita anggarkan sekitar RM182,000 dan kita akan lakukan pembaikan ke atas kenderaan tersebut,” ujarnya.
Pada 8 November lalu, sebuah kenderaan pengangkut KPKK bersama dua muatan kenderaan jensi A (KJA) Adnan terbabit kemalangan di Kilometer (KM) 35.2, Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak.
Tentera Darat Malaysia (TDM) melaporkan, insiden jam 4.45 petang itu berlaku ketika enam KPKP berkonvoi membawa 12 KJA dari Kem Batu 10, Kuantan menuju ke Kem Syed Sirajuddin, Gemas untuk Latihan Peningkatan Tempur (LPT). – MalaysiaGazette