KUALA LUMPUR- Sejumlah 94,778 mangsa banjir direkodkan di 33 daerah di sembilan negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Selangor, Johor, Melaka dan Perak setakat jam 4 petang tadi, meningkat berbanding 52,360 mangsa, semalam.
Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMA) dalam kenyataannya malam ini berkata, ia melibatkan 28,589 keluarga yang ditempatkan di 527 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Jumlah PPS yang dibuka juga bertambah berbanding 385 PPS, semalam.
Katanya, tiga daerah yang paling teruk terjejas adalah daerah Pasir Mas, Kelantan (21,856 mangsa), daerah Besut, Terengganu (10,867 mangsa) dan daerah Tumpat, Kelantan (10,173 mangsa).
NADMA turut melaporkan kes kematian akibat banjir setakat ini melibatkan empat mangsa yang mana tiga kes direkodkan pada 27 November 2024, melibatkan masing-masing seorang lelaki dewasa di Pasir Puteh dan Machang Kelantan; dan Kapit, Sarawak.
Sementara itu, satu kes kematian dicatatkan semalam di Besut, Terengganu.
“Berdasarkan analisis model-model cuaca terkini, luruan monsun kuat dijangka berlanjutan sehingga hujung November 2024. Keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan sangat lebat dan berterusan dalam tempoh berkenaan.
“MET Malaysia meramalkan kelajuan luruan monsun dan intensiti hujan akan berkurangan bermula lewat 30 November 2024 dan cuaca akan bertambah baik,” katanya.