Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bercakap pada sidang media ketika menghadiri Malam Anugerah Kecemerlangan Media KPKT 2024 di JW Marriot, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 29 NOVEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri hari ini bersetuju dengan cadangan untuk melaksanakan hukuman khidmat masyarakat bagi kesalahan pembuangan sampah kecil melalui pindaan undang-undang.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pihaknya telah mengemukan memorandum berhubung perkara itu dan akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac tahun hadapan.

Katanya, terdapat tiga akta terlibat iaitu Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672], Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Akta 133] dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171].

“Kita akan menyediakan draf Rang Undang-Undang (RUU) ke atas tiga akta itu yang kini hampir siap dan akan dibentangkan di dewan rakyat pada sesi akan datang iaitu Mac 2025.

“Objektif pelaksanaan hukuman ini bagi memberi keinsafan dan kesedaran kepada pesalah yang mana mereka dikehendaki memakai jaket khas dan dikenakan hukuman mengikut tempoh jam agregat ditetapkan.

“Ia bagi mencegah pesalah mengulangi kesalahan dan mematuhi undang-undang ditetapkan, mendidik supaya prihatin terhadap kebersihan persekitaran dan mengurangkan kesan pencemaran alam sekitar serta risiko penyakit bawaan vektor,” katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Media KPKT, di sini, hari ini.

Tambah Kor Ming, walaupun Malaysia telah mencapai pelbagai kemajuan dalam usaha menuju status negara maju namun isu pembuangan sampah kecil merata-rata masih menjadi kebimbangan.

“Pada masa ini, penguatkuasaan berkaitan isu tersebuh masih dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui punca kuasa di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Akta 133].

“PBT juga mempunyai punca kuasa berkaitan penguatkusaan sampah kecil di bawah Akta 171 melalui pewartaan undang-undang kecil namun tidak melibatkan hukuman khidmat masyarakat,” ujarnya.

Mengulas mengenai penambahan kamera litar tertutup (CCTV), Kor Ming berkata, kementeriannya telah memperuntukkan RM15 juta untuk Program Bandar Pintar tahun hadapan.

“Antara komponen Program Bandar Pintar atau Smart City termasuk bandar yang selamat dengan pemasangan CCTV di lokais yang strategik.

“Kita juga akan pastikan semua individu dipantau bukan sahaja untuk tangkap pesalah ‘ulat sampah’ tetapi paling penting adalah menjaga keselamatan penduduk bandar selain mengurang jumla kes jenayah,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here