Pejabat Wisma Tani ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana KPKM dan menggerakkan operasi di semua peringkat bagi membantu golongan petani, peladang, penternak dan nelayan yang terjejas akibat banjir di beberapa negeri antaranya di Kelantan dan Terengganu.

KPKM dalam satu kenyataan memaklumkan, ia selaras dengan laporan Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) yang meramalkan ketibaan Monsun Timur Laut (MTL) pada 5 November 2024 hingga Mac 2025 yang menjangkakan hujan lebat di beberapa negeri di mana berpotensi berlakunya banjir.

Menurutnya, KPKM juga menggerakkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana KPKM di peringkat daerah dan negeri serta mengaktikan Bilik Gerakan Bencana KPKM di peringkat pusat, negeri dan daerah.

Jelasnya, laporan awal kejadian bencana bagi sektor tanaman semasa secara kumulatif dari 27 November sehingga 28 November 2024 membabitkan 174 petani dengan anggaran keluasan 295.00 hektar kawasan pertanian dan anggaran nilai kerosakan RM837,535.

“Bilik Gerakan Bencana KPKM di peringkat daerah dan negeri sedang memantau keadaan cuaca, membuat hebahan awal kepada golongan sasar dan melaksanakan pelan mitigasi bagi mengurangkan kerugian kepada sektor agromakanan negara ketika bencana berlaku.

“KPKM sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dan bersedia menggerakkan aset-aset bagi membantu usaha-usaha menyelamat mangsa banjir sekiranya perlu dan mendapat kebenaran dari pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” demikian menurut kenyataan itu hari ini.

Tambah kenyataan itu, pada 26 November lalu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) iaitu agensi di bawah KPKM telah mengedarkan 60,000 Kit Bantuan Makanan bagi persediaan Monsun Timur Laut melalui NADMA.

Selain itu, ujarnya, KPKM turut menyediakan bantuan-bantuan pasca bencana kepada warga yang terkesan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) bagi tanaman padi dan Tabung Bencana Pertanian (TBP) bagi aktiviti agromakanan dalam usaha membantu petani, penternak dan nelayan yang terkesan bencana dan memerlukan bantuan segera.

“Orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Bencana KPKM dii talian 03-88701663/1664/1491 atau e-mel [email protected] bagi mendapatkan info lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here